Kes Penalti PETRONAS: Orang Ramai Diseru Hormati Proses Kehakiman
KUCHING: Kerajaan Sarawak meminta orang awam supaya bersabar dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes penalti berjumlah RM120 juta yang dikenakan ke atas lima anak syarikat Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), sementara menunggu keputusan muktamad mahkamah.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, menegaskan bahawa proses perundangan perlu diberi ruang sepenuhnya agar keadilan dapat ditegakkan tanpa sebarang gangguan.
Menurut beliau, sebarang komen atau ulasan berlebihan berpotensi menjejaskan perjalanan kes yang kini masih di peringkat mahkamah.
“Biarlah proses kehakiman berjalan sebagaimana sepatutnya. Keputusan akan menentukan langkah seterusnya. Saya berharap orang ramai tidak membuat andaian atau spekulasi,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan penyampaian sumbangan Biro Wanita SABERKAS kepada penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK) Kuching, Batu 12, pada Selasa.
Kes tersebut melibatkan lima anak syarikat PETRONAS iaitu Malaysia LNG Sdn Bhd, Malaysia LNG Dua Sdn Bhd, Petronas Carigali Sdn Bhd, Malaysia LNG Tiga Sdn Bhd dan Petronas LNG 9 Sdn Bhd, yang didakwa gagal mendapatkan lesen operasi di Sarawak seperti diperuntukkan di bawah Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016.
Sebanyak lapan notis telah dikeluarkan, dengan setiap entiti dikenakan penalti RM15 juta, meskipun jumlah maksimum penalti yang dibenarkan di bawah ordinan tersebut ialah RM20 juta bagi setiap kes.
Pada Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Kuching menetapkan 2 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes selepas mendapati terdapat isu-isu yang memerlukan hujahan lebih terperinci.
Mengulas lanjut, Datuk Sharifah Hasidah menegaskan bahawa hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak kekal baik, walaupun wujud perbezaan pandangan dalam isu tertentu.
“Perbezaan pendapat adalah sesuatu yang biasa. Yang penting, kedua-dua pihak kekal matang dan berhemah dalam menguruskan isu demi kepentingan rakyat serta pembangunan negeri,” ujarnya.
Beliau turut menambah bahawa keputusan mahkamah kelak bukan sahaja melibatkan implikasi kewangan, malah penting dalam memperkukuh keyakinan terhadap tadbir urus undang-undang serta kestabilan persekitaran perniagaan di Sarawak. -EDISI UKAS