MIRI: Dasar pendidikan inklusif Kerajaan Sarawak terus memperlihatkan impak positif apabila Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) berjaya menarik ratusan pelajar melanjutkan pengajian di Curtin University Malaysia, sekali gus memperkukuh usaha memperkasa modal insan serta memastikan akses pendidikan tinggi yang lebih adil kepada semua lapisan masyarakat.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Curtin University Malaysia, Profesor Vincent Lee berkata, pelaksanaan FTES merupakan inisiatif strategik kerajaan negeri yang bukan sahaja meringankan beban kewangan pelajar dan keluarga, malah membuka peluang pendidikan tinggi kepada masyarakat dari seluruh negeri termasuk kawasan luar bandar dan wilayah utara Sarawak.
Menurut beliau, sejak skim tersebut dilancarkan pada 17 Disember tahun lalu, sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila peningkatan ketara dapat dilihat melalui kehadiran ibu bapa dan pelajar ke kampus bagi mendapatkan maklumat serta pertambahan mendadak permohonan kemasukan.
“Dalam tempoh kira-kira dua bulan sahaja, kemasukan pelajar ke peringkat ijazah di bawah FTES di Curtin meningkat hampir 100 peratus, sekali gus mencerminkan keyakinan rakyat terhadap dasar pendidikan percuma yang diperkenalkan Kerajaan Sarawak,” katanya semasa sesi temubual di The Auditorium, Curtin University Malaysia di sini pada Isnin.
Bagi tahun ini, lebih 200 pelajar baharu mendaftar terus ke program ijazah di Curtin University Malaysia dengan kira-kira 150 daripadanya merupakan penerima FTES.
Secara keseluruhan, hampir 500 pelajar kini mengikuti pengajian di kampus berkenaan melalui pelbagai skim pendidikan yang disokong Kerajaan Sarawak, menjadikan Curtin antara institusi utama yang melaksanakan dasar pendidikan percuma negeri ini.
Profesor Vincent turut menjelaskan bahawa FTES merangkumi pelbagai bidang pengajian kritikal yang selari dengan keperluan pembangunan Sarawak, termasuk program kejuruteraan, sains gunaan seperti pengurusan pembinaan dan geologi gunaan, bidang perdagangan dalam perakaunan dan kewangan, serta sains kesihatan dan psikologi.
“Tumpuan kepada bidang-bidang ini selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial Sarawak,” ujarnya.
Sementara itu, pelajar FTES kohort pertama, Albert Ngaw, 49, dari Miri, menyifatkan skim pendidikan percuma yang diperkenalkan sebagai peluang keemasan yang jarang diperoleh.
Beliau berkata, sokongan kewangan kerajaan negeri memberinya keyakinan untuk kembali menyambung pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang kewangan dan pemasaran, sekali gus meningkatkan keupayaannya memberi khidmat kepada masyarakat melalui perancangan kewangan yang lebih berkesan.
Bagi Nur Emily Muhamad Azli, 19, dari Kuching, FTES membuktikan keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap generasi muda, khususnya dalam memastikan peluang pendidikan tinggi dapat dinikmati tanpa kekangan kewangan.
Pelajar Pengurusan Pembinaan itu berkata, bantuan pendidikan percuma tersebut banyak membantu mengurangkan tekanan kewangan keluarga serta membolehkannya merancang masa depan akademik dengan lebih yakin, termasuk hasrat melanjutkan pengajian dalam bidang perancangan bandar bagi menyumbang kepada pembangunan negeri.
Pelaksanaan FTES di Curtin University Malaysia jelas mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak yang menjadikan pendidikan sebagai teras pembangunan negeri, sekali gus membentuk generasi berilmu, berdaya saing dan mampu memacu pembangunan Sarawak secara mampan pada masa hadapan.-EDISI UKAS