Kelulusan Projek RTP Sinar Baharu Kepada Penduduk Meradong
BINTANGOR: Kelulusan tiga projek di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Meradong memberi kelegaan kepada penduduk setempat, khususnya komuniti rumah panjang yang bergantung sepenuhnya kepada infrastruktur asas dalam urusan harian mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing meninjau projek-projek berkenaan pada Isnin, yang bermatlamat meningkatkan kemudahan asas serta kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.
Menurutnya, kelulusan projek-projek ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan yang seimbang dan inklusif, terutamanya di kawasan luar bandar yang memerlukan penambahbaikan kemudahan seperti jalan raya, jambatan dan sistem perparitan.
Katanya, pelaksanaan projek RTP amat penting kerana ia memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya komuniti rumah panjang yang menjadikan infrastruktur asas sebagai nadi kehidupan seharian mereka.
Antara projek yang diluluskan ialah penaiktarafan Jambatan I-Beam di Rumah Panjang Cherida, Sungai Mador dengan kos RM150,000.
Jambatan sepanjang 12 meter itu merupakan laluan utama penduduk untuk ke sekolah, pusat bandar, perkhidmatan kesihatan dan aktiviti ekonomi.
Penaiktarafan ini dijangka meningkatkan tahap keselamatan pengguna serta memastikan pergerakan lebih lancar, terutama ketika musim hujan.
Selain itu, turut diluluskan projek menaik taraf jalan utama Rumah Rentap, Jalan KJD Bintangor dengan peruntukan RM60,000 di mana jalan sepanjang 150 meter itu merupakan laluan harian penduduk dan sering digunakan kenderaan.
Kerja-kerja menaik taraf dijangka memberi keselesaan kepada pengguna, mengurangkan risiko kerosakan kenderaan serta meningkatkan keselamatan lalu lintas di kawasan berkenaan.
Turut mendapat kelulusan ialah projek menaik taraf sistem perparitan di Rumah Linya, Mador Ili bernilai RM50,000 melibatkan sepanjang 50 meter bertujuan mengatasi masalah saliran air dan mengurangkan risiko banjir kilat ketika hujan lebat, sekali gus mewujudkan persekitaran penempatan yang lebih selamat dan selesa.
Dalam pada itu, Datuk Ding merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Sarikei serta semua agensi pelaksana atas kerjasama erat dalam merancang dan meluluskan projek berkenaan.
Beliau berharap semua projek dapat dilaksanakan mengikut spesifikasi dan disiapkan mengikut jadual demi kepentingan penduduk setempat.-EDISI UKAS