KMKK, JKKK ejen pelaksana PCDS 2030 di peringkat komuniti
SIBU: Peranan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebagai ejen pelaksana dasar pembangunan negeri di peringkat akar umbi amat penting dalam menjayakan Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Tamin Ir Christopher Gira Sambang berkata PCDS 2030 bukan sekadar dasar di peringkat kerajaan negeri, sebaliknya merupakan rangka tindakan menyeluruh yang memerlukan penglibatan aktif dan kefahaman masyarakat di peringkat komuniti.
“PCDS 2030 memberi hala tuju pembangunan negeri Sarawak yang jelas dan terancang, dan kejayaannya bergantung kepada peranan KMKK dan JKKK sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi.
“Melalui kefahaman yang betul, KMKK dan JKKK dapat membantu menyampaikan dasar, perancangan serta inisiatif kerajaan kepada masyarakat dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Pemantapan Personel Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Daerah Sibu khas untuk DUN Tamin di Hotel Premier di sini, pada Selasa.
Tambah beliau, program pemantapan seumpama itu memberi pendedahan penting kepada peserta mengenai peranan mereka dalam menyokong agenda pembangunan negeri selaras dengan aspirasi PCDS 2030.
“Program ini bukan sekadar meningkatkan pengetahuan pentadbiran, malah membantu menyelaraskan peranan dan tanggungjawab KMKK serta JKKK sebagai pelaksana dasar di peringkat komuniti.
“Penglibatan aktif kepimpinan masyarakat amat diperlukan bagi memastikan setiap perancangan pembangunan dapat difahami dan diterima oleh rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kefahaman yang menyeluruh terhadap hala tuju pembangunan negeri akan membantu mewujudkan tadbir urus kampung yang lebih tersusun dan berkesan.
“Apabila KMKK dan JKKK memahami peranan mereka dalam konteks pembangunan negeri, pelaksanaan dasar dapat dilakukan dengan lebih teratur dan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat.
“Ini seterusnya akan menyumbang kepada pembangunan komuniti yang seimbang dan mampan di DUN N.59 Tamin,” tambah beliau.
Hadir sama wakil Pegawai Daerah Sibu, Sylvia Lau Gin Sibu dan wakil Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak, Benard Upieh.-EDISI UKAS