Keselamatan Sekolah Diperkasa, Sambutan Tahun Baharu Cina Eratkan Perpaduan di Oya
OYA: Kerajaan Sarawak terus komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga pendidikan apabila Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah merasmikan projek benteng hakisan sungai serta kerja-kerja menaik taraf gelanggang bola keranjang di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yak Tee, Oya.
Perasmian projek tersebut pada Selasa mencerminkan keprihatinan berterusan kerajaan negeri dalam menyediakan persekitaran sekolah yang selamat, selesa dan kondusif khususnya di kawasan berisiko hakisan.
Projek pembinaan benteng hakisan sungai dan kerja-kerja tambahan di Sungai Parit, Oya melibatkan peruntukan sebanyak RM500,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Tahun 2022 dan telah dilaksanakan sepenuhnya dari April hingga Disember 2024.
Selain itu, kemudahan gelanggang bola keranjang sekolah turut dipertingkatkan melalui beberapa fasa pelaksanaan Projek Kecil Luar Bandar (MRP), termasuk pembinaan pagar sekeliling gelanggang bernilai RM12,000 (MRP 2021), kerja-kerja mengecat semula tiang gelanggang berjumlah RM8,000 (MRP 2024) serta peruntukan tambahan RM8,000 (MRP 2025) bagi memastikan kemudahan tersebut selamat dan berada dalam keadaan baik.
Usai sesi perasmian, Dato Sri Hajah Fatimah seterusnya menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 di Gelanggang SJK(C) Yak Tee yang berlangsung dalam suasana meriah serta mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Dalam ucapannya, beliau berkata sambutan Tahun Baharu Cina bukan sahaja signifikan kepada masyarakat Tionghua, malah menjadi simbol perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk di Sarawak yang sentiasa menjunjung nilai toleransi, hormat-menghormati serta semangat kekitaan.
Beliau turut menegaskan penganjuran program seumpama ini memberi ruang kepada masyarakat untuk memperkukuh silaturahim, meningkatkan kefahaman budaya dan memupuk semangat perpaduan yang kukuh khususnya dalam kalangan generasi muda.
Turut hadir ialah Pegawai Pendidikan Daerah Dalat, Magdaline Jon; Guru Besar SJK(C) Yak Tee, Oya, Lo Leh Na; Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah, Ong Sii Wei; Pengerusi JKKK Pasar Oya, Kapitan Ong Hock Hoon; Yang Dipertua PIBG, Muhamad Izwan Ismail serta barisan pentadbir, guru dan warga sekolah.-EDISI UKAS