Kemudahan Awam Dipertingkat Demi Kebajikan Komuniti
SIBU: Keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap kebajikan dan kemudahan awam terus dizahirkan menerusi pelaksanaan projek naik taraf Tanah Perkuburan Islam Kemuyang yang bertujuan meningkatkan keselesaan serta keselamatan masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, pelaksanaan projek tersebut memberi manfaat langsung kepada penduduk, khususnya ketika urusan pengebumian dan kunjungan ahli keluarga ke tanah perkuburan.
Projek di bawah peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Tahun 2025 itu jelasnya melibatkan kos sebanyak RM500,000 dan merangkumi pembesaran jalan di sekitar kawasan tanah perkuburan, pemasangan lampu jalan serta kerja-kerja berkaitan bagi memperbaiki kemudahan akses dan tahap keselamatan.
Menurut beliau, penyediaan infrastruktur yang baik bukan sahaja memberi keselesaan kepada pengunjung, malah mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menjaga keperluan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Dalam lawatan tinjauan ke tapak projek pada Selasa, Datuk Dr Annuar turut merakamkan kepuasan terhadap kemajuan kerja yang sedang dilaksanakan dan berharap projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual agar manfaatnya dapat dinikmati sepenuhnya oleh komuniti setempat.
Turut hadir ialah Pengurus Tanah Perkuburan Islam Kemuyang, Apendi Khalik dan Pengerusi Masjid Al-Qadim, Suhardi Busrah.-EDISI UKAS