SUEF Salur RM100,000 Kepada PERKATA, Seru Penglibatan Lebih Luas Sektor Swasta
KUCHING: ‘Sarawak Unity Education Fund’ (SUEF) tampil dengan sumbangan berjumlah RM100,000 dalam membantu Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Terencat Akal Sarawak (PERKATA) sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya dalam menyokong program-program pendidikan dan kebajikan persatuan berkenaan.
Pengerusi SUEF, Datuk Richard Lee Say Tshin, berkata persatuan seperti PERKATA memerlukan lebih banyak pihak daripada sektor swasta tampil membantu dan memperkukuh sokongan terhadap inisiatif-inisiatif pendidikan yang dijalankan oleh pertubuhan tersebut.
“Kami juga ingin menggalakkan sektor swasta tempatan untuk menyokong PERKATA kerana mereka mengendalikan sebuah sekolah untuk kanak-kanak kurang upaya.
“PERKATA telah berkhidmat selama 54 tahun dan mereka bergantung kepada sumbangan untuk menyokong kanak-kanak kurang upaya dan ia merupakan satu kerja yang sangat mulia kerana bukan mudah, tetapi mereka telah bertahan selama 54 tahun.
"Oleh itu, sumbangan kecil kami diharap dapat turut menjadi perangsang kepada sektor swasta lain untuk tampil dengan sumbangan mereka,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sesi sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, pada Rabu.
Hadir sama dalam kunjungan berkenaan ialah Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain.
Tambah beliau, SUEF setakat ini telah menyalurkan 31 biasiswa kepada anak Sarawak yang layak dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM1.4 juta dan sumbangan hari ini merupakan sumbangan kedua mereka kepada PERKATA atas usaha mereka dalam bidang pendidikan dan penjagaan kanak-kanak kurang upaya di kawasan Kuching.
Turut hadir, Penasihat SUEF Dato Sri Richard Wee Liang Chiat dan Bendahari SUEF Datu Laura Lee Ngien Hion. -EDISI UKAS