MIRI: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) disifatkan sebagai benteng utama dalam memelihara keharmonian, perpaduan serta kestabilan sosial di Sarawak yang berbilang kaum dan agama.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, peranan tersebut amat penting bagi memastikan keunikan kehidupan rakyat Sarawak yang saling menghormati dan hidup harmoni tanpa mengira kaum, agama serta latar belakang budaya terus dipertahankan.
“Budaya rakyat Sarawak yang mampu duduk semeja, makan dan berbual bersama tanpa mengira perbezaan merupakan kekuatan yang perlu terus dipelihara oleh para pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sijil Pelantikan Semula Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Daerah Miri di Bilik Mesyuarat Utama, Pejabat Residen Bahagian Miri, pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan KMKK agar memainkan peranan aktif menasihati penduduk setempat supaya tidak terpengaruh dengan isu sensitif, khususnya yang melibatkan agama, kaum dan institusi, termasuk penyebaran maklumat tidak sahih di media sosial.
Tambahnya, KMKK bukan sahaja berfungsi sebagai pemimpin komuniti, malah bertindak sebagai saluran penyampaian dasar, inisiatif dan bantuan Kerajaan Sarawak kepada rakyat, justeru mereka perlu memahami maklumat yang disampaikan agar tidak menimbulkan kekeliruan di peringkat akar umbi.
Seramai 20 orang KMKK menerima sijil pelantikan semula pada majlis tersebut, melibatkan empat Ketua Masyarakat dan 16 Ketua Kaum.
Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Residen Bahagian Miri Galong Luang serta Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof.-EDISI UKAS