Sembilan Individu Berjaya Peroleh Kewarganegaraan Malaysia
MIRI: Usaha berterusan membantu menyelesaikan isu kewarganegaraan membuahkan hasil apabila sembilan individu berjaya memperoleh status kewarganegaraan Malaysia hasil permohonan yang diusahakan oleh Pusat Khidmat SUPP Piasau.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil perjalanan panjang yang penuh cabaran, khususnya bagi ibu bapa dan keluarga yang terlibat.
Menurut beliau, beberapa kelulusan permohonan telah diterima pada tahun lalu manakala sebahagian lagi diterima pada awal tahun ini.
“Bagi yang masih belum berjaya, jangan berputus asa kerana pasukan kami akan terus membuat susulan dengan kerajaan pusat,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat SUPP Piasau, di sini, baru-baru ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan pusat atas kelulusan permohonan tersebut, sambil menegaskan bahawa status kewarganegaraan Malaysia memberi pelbagai kemudahan termasuk akses pendidikan.
Dalam pada itu, beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua masyarakat, dengan harapan tahun 2026 membawa rezeki dan kesihatan yang baik.-EDISI UKAS