Projek Naik Taraf Bulatan Pujut 3 Fasa Perancangan Terperinci, Tangani Kesesakan Trafik Miri
MIRI: Projek naik taraf Bulatan Pujut 3 atau lebih dikenali sebagai Bulatan GK kini memasuki peringkat perancangan terperinci selepas diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), dengan fokus utama bagi menangani masalah kesesakan trafik yang semakin kritikal di kawasan berkenaan.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, projek tersebut bukan sahaja melibatkan penambahbaikan di kawasan bulatan, malah merangkumi peluasan laluan utama daripada empat lorong kepada enam lorong sepanjang kira-kira tiga kilometer.
Menurut beliau, laluan yang terlibat bermula dari Bulatan Pujut 3 sehingga ke persimpangan lampu isyarat Pujut 7 termasuk kawasan sekitar Saberkas, dengan setiap arah akan mempunyai tiga lorong bagi melancarkan aliran trafik dua hala.
“Kajian impak trafik mendapati pemasangan lampu isyarat sahaja tidak mencukupi untuk menyelesaikan masalah kesesakan di kawasan ini.
“Penambahan satu lorong di setiap arah adalah langkah perlu bagi menampung jumlah trafik yang semakin meningkat,” katanya selepas sesi taklimat di Bilik Mesyuarat Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Bahagian Miri, baru-baru ini.
Beliau menjelaskan data bancian trafik selama 16 jam menunjukkan peningkatan ketara jumlah kenderaan yang melalui laluan tersebut, daripada 31,179 kenderaan pada 2016 kepada 53,983 kenderaan berdasarkan bancian terkini pada Jun 2025, mencerminkan pertumbuhan hampir dua kali ganda dalam tempoh kurang sedekad.
Tambahnya, projek berkenaan dilaksanakan oleh JKR Malaysia memandangkan laluan tersebut merupakan jalan Persekutuan.
Setakat ini, beberapa kerja awal telah disiapkan termasuk Kajian Penilaian Impak Trafik (TIA) serta siasatan tanah, manakala pelantikan perunding ukur tanah sedang dalam proses.
“Laporan penilaian dan syor telah dikemukakan pada 19 Januari lalu dan kini berada pada peringkat pelantikan perunding ukur, namun perunding reka bentuk kejuruteraan jalan masih belum dilantik,” jelasnya.
Beliau menambah, hanya selepas reka bentuk kejuruteraan disiapkan dan diluluskan, barulah proses tender boleh dilaksanakan, sekali gus menjadikan tempoh sebenar pelaksanaan projek bergantung kepada kelancaran pelantikan perunding serta kelulusan reka bentuk akhir.
Mengulas kos projek, beliau memaklumkan jumlah peruntukan belum didedahkan memandangkan proses reka bentuk dan perundingan masih berjalan.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan kementeriannya menerima banyak pertanyaan orang awam berkaitan kesesakan trafik di kawasan berkenaan memandangkan Kementerian Pengangkutan Sarawak turut terlibat secara langsung dalam pengurusan trafik bandar.
Taklimat tersebut turut dihadiri Residen Bahagian Miri Galong Luang, Ketua Bahagian (N14) Pengangkutan Darat dan Logistik, Kementerian Pengangkutan Sarawak Ts. Chong Chi Fam, Jurutera Bahagian JKR Miri Stephen Ung Neng Hui serta Penolong Jurutera Daerah JKR Miri Chai Chung Enn.-EDISI UKAS