Kerajaan Perhebat Tindakan Segera Stabilkan Bekalan Air Pedalaman Mulu
MIRI: Kerajaan Sarawak akan mengambil tindakan segera bagi menstabilkan bekalan air di kawasan pedalaman Dewan Undangan Negeri (DUN) Mulu menerusi penyelarasan bersepadu antara agensi teknikal berkaitan.
Langkah itu diputuskan dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier( Buruh, Imegresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala di Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Miri, susulan aduan berterusan berhubung isu gangguan bekalan air bersih di beberapa penempatan pedalaman baru-baru ini.
Mesyuarat tersebut memberi fokus kepada pelan tindakan segera melibatkan penilaian teknikal, penyelenggaraan infrastruktur serta penambahbaikan operasi sistem agihan air di kawasan terjejas, termasuk Pa Ukat, Bario, Long Lio Mato, Seridan, Long Banga, Poyut, Lubok Nibong dan Marudi.
JBALB Bahagian Miri akan melaksanakan penilaian lapangan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca gangguan bekalan dan merangka penyelesaian bersasar mengikut keperluan setempat, khususnya di kawasan berdepan cabaran logistik.
Bagi sistem di bawah seliaan Sarawak Alternative Water Supply (SAWAS), kerja penambahbaikan akan dilaksanakan menggunakan peruntukan operasi sedia ada bagi memastikan bekalan lebih stabil dan mampan.
Datuk Gerawat menegaskan bekalan air bersih adalah keperluan asas rakyat dan kerajaan komited memastikan penduduk pedalaman menikmati perkhidmatan setara.
Beliau turut mengarahkan semua agensi terlibat mempercepat pelaksanaan tindakan susulan serta meningkatkan pemantauan bagi memastikan penyelesaian yang dicapai memberi kesan jangka panjang kepada kesejahteraan penduduk.-EDISI UKAS