Bulatan Park Perkenal Lake Duck Pedal Boat, Tarikan Pelancongan Baharu
MIRI: Pusat rekreasi Bulatan Park kini mempunyai tarikan baharu, Lake Duck Pedal Boat sebagai usaha mempopuarkan lagi kawasan itu kepada orang ramai.
Majlis perasmian kemudahan itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew pada Selasa.
Turut hadir Datuk Bandar Miri merangkap ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang, pengasas Lake Duck Pedal Boat William Chong serta wakil Majlis Bandaraya Miri (MBM).
Dalam ucapannya, Datuk Sebastian berkata Bulatan Park yang dibangunkan pada awal 1990-an merupakan inisiatif penting kerajaan tempatan dalam mempromosikan kelestarian alam sekitar di samping menyediakan ruang rekreasi berkualiti kepada masyarakat.
Menurut beliau, idea memperkenalkan Lake Duck Pedal Boat dicetuskan oleh William selepas meninjau konsep pelancongan di beberapa negara dan mengenal pasti aktiviti berpotensi untuk meningkatkan daya tarikan pelancongan Miri.
Mengulas mengenai pembangunan Bulatan Park, Sebastian memaklumkan bahawa menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) pada 2020, sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi pemasangan kemudahan taman permainan, peralatan kecergasan luar, naik taraf pencahayaan, perabot taman, penambahbaikan trek joging serta peluasan kawasan taman.
Pada 2022, katanya, sebanyak RM600,000 lagi diperuntukkan untuk pembinaan Velosolutions Pump Track yang kini diiktiraf di peringkat antarabangsa dan menjadikan Miri satu-satunya lokasi di Sarawak yang tersenarai dalam World Velosolutions Pump Track Registry.
Selain itu, di bawah RTP 2025, sebanyak RM100,000 diperuntukkan untuk pemasangan lampu tambahan di Bulatan Park.
Datuk Sebastian turut menekankan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) pelbagai pihak termasuk Shin Yang Group of Companies yang menyokong pembangunan taman botani, taman luncur, gelanggang bola keranjang berbumbung serta Pavilion Oktagon yang bakal dibina.
Di samping itu, Persatuan Cina Sarawak bersama komuniti pelbagai kaum di Miri membina Unity Bridge yang menjadi simbol perpaduan masyarakat setempat.
Beliau dalam pada itu yakin pengenalan Lake Duck Pedal Boat akan terus memperkukuh kedudukan Bulatan Park sebagai destinasi pelancongan dan riadah utama di Miri.-EDISI UKAS