MARUDI: Penyerahan tapak Pakej 2 (Fasa 1) Projek Jalan Marudi–Mulu (Kuala Melinau) di bawah Projek MMMLL Road menandakan satu lagi langkah penting dalam pelaksanaan projek strategik yang telah lama dinantikan rakyat, khususnya di kawasan pedalaman Baram dan Mulu.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata, penyerahan tapak itu turut menandakan permulaan rasmi pelaksanaan Pakej 2 (Puyut ke Sungai Selejau) sepanjang 6.2 kilometer, yang merupakan sebahagian daripada pelaksanaan berperingkat Projek Jalan Marudi–Mulu mengikut perancangan kerajaan negeri.
“Projek ini amat signifikan dalam meningkatkan jaringan perhubungan darat ke kawasan pedalaman, khususnya ke Taman Negara Mulu yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
“Pembinaan jalan ini bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk setempat, malah menyokong pembangunan sektor pelancongan serta usaha pemeliharaan kawasan berstatus antarabangsa ini secara lebih mampan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu itu menjelaskan, secara keseluruhan jaringan jalan sepanjang 74 kilometer dari Marudi ke Mulu akan dihubungkan dengan Sabah–Sarawak Link Road Fasa 2, sekali gus mewujudkan rangkaian perhubungan lebih menyeluruh antara Sarawak dan Sabah.
Apabila siap kelak, projek tersebut dijangka memberi impak besar terhadap kesejahteraan rakyat dengan memperkukuh akses perhubungan serta merancakkan pembangunan sosioekonomi di kawasan terlibat.
Selain itu, pembinaan jalan berkenaan akan membuka akses susur jalan ke beberapa penempatan utama termasuk Long Ukok, Long Linei dan Long Panai yang selama ini berdepan cabaran perhubungan darat.
Beliau menegaskan kerajaan negeri akan terus komited memantau pelaksanaan projek tersebut secara berterusan bagi memastikan ia berjalan lancar dan memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat, khususnya di kawasan Marudi dan Mulu.
Turut hadir Residen Bahagian Miri Galong Luang, Pengurus Wilayah Highland Development Agency (HDA) Juan Ubit serta Head of Operation Chuah Chuan Chee.-EDISI UKAS