Rumah Terbuka SUPP Bintulu, Platform Perpaduan Antara Kaum
BINTULU: Penganjuran Rumah Terbuka Tahun Baru Cina oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintulu pada 22 Februari ini dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh keharmonian serta perpaduan masyarakat berbilang kaum di bahagian ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, majlis tahunan tersebut sentiasa menjadi simbol keterbukaan dan semangat kebersamaan rakyat Sarawak tanpa mengira latar belakang.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena penganjuran program berkenaan di Pusat Khidmat N.68 Tanjong Batu, di sini pada Selasa.
Menurutnya, majlis yang akan berlangsung di Dewan Suarah Bintulu dari jam 10 pagi hingga 1 petang itu dijangka dihadiri Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian sebagai tetamu kehormat.
Tambah beliau, selain sajian tradisi Tahun Baru Cina, pengunjung turut disajikan persembahan kebudayaan serta pentas khas bagi mengetengahkan bakat tempatan.
Dalam usaha menzahirkan semangat saling menghormati, pihak penganjur turut menyediakan Bubur Pedas khas memandangkan sambutan kali ini berlangsung pada bulan Ramadan, sekali gus mencerminkan nilai toleransi tinggi yang menjadi identiti masyarakat Sarawak.
Beliau berharap kehadiran masyarakat pelbagai kaum bersama keluarga dapat terus menyuburkan semangat muhibah serta memperkukuh hubungan sosial dalam komuniti Bintulu.-EDISI UKAS