ADUN Tanjung Batu Santuni Kakitangan Hospital Bintulu
BINTULU: Kakitangan Hospital Bintulu menerima sumbangan buah kurma dan limau mandarin daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming dalam satu lawatan ringkas, di sini pada Selasa.
Menurut Johnny Pang, sumbangan tersebut merupakan tanda penghargaan awal sempena sambutan Tahun Baharu Cina bagi kakitangan berbangsa Tionghua serta persediaan menyambut Ramadan untuk kakitangan Muslim.
Dalam lawatan itu, beliau turut mengambil peluang menyantuni petugas kesihatan serta mendengar sendiri keperluan dan cabaran semasa yang dihadapi pihak hospital.
Beliau menegaskan, agensi kerajaan merupakan cerminan pentadbiran dan menjadi pintu utama rakyat mendapatkan perkhidmatan awam, justeru sikap, kecekapan serta profesionalisme penjawat awam amat penting dalam membentuk kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan.
Selain menaik taraf kemudahan fizikal, katanya, pengoptimuman sistem, agihan sumber dan sokongan tenaga kerja juga perlu diberi perhatian bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan.
Beliau berharap melalui sesi dialog tersebut, maklumat berkaitan keperluan hospital termasuk peralatan, kekurangan kakitangan dan proses pentadbiran dapat difahami dengan lebih jelas untuk dibawa ke peringkat kementerian berkaitan.-EDISI UKAS