Pastikan Akses Fasiliti Sukan Kekal Mampu Milik Bagi Rakyat
SELANGAU: Kerajaan Sarawak menekankan komitmen untuk memastikan kadar sewaan kemudahan sukan kekal berpatutan selepas membekukan cadangan semakan semula susulan maklum balas masyarakat.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, struktur sewaan ketika ini melibatkan caj tambahan bagi penggunaan kemudahan tertentu seperti penghawa dingin, lampu dan fasiliti sokongan lain, sekali gus menyebabkan kos meningkat sehingga mencecah ribuan ringgit.
Menurut beliau, situasi itu menyukarkan golongan belia serta masyarakat luar bandar untuk memanfaatkan kemudahan sukan yang disediakan kerajaan.
“Contohnya, jika menggunakan penghawa dingin, ada caj tambahan. Begitu juga penggunaan lampu dan kemudahan lain. Akhirnya kos sewaan boleh mencecah ribuan ringgit,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Kompleks Mini Sukan Selangau, pada Rabu.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) akan terus memainkan peranan penting dalam mengurus dan menyelia prasarana sukan, memastikan fasiliti sentiasa berada dalam keadaan baik serta selamat digunakan.
Sehubungan itu, katanya, cadangan lama berkaitan pelarasan kadar sewaan telah dibekukan sementara bagi membolehkan penilaian semula dibuat.
“Premier turut menegaskan bahawa apabila prasarana sukan dibina, kadar sewaan tidak seharusnya terlalu tinggi sehingga menyukarkan rakyat untuk menggunakannya.
“Saya telah menerima isyarat yang jelas mengenai perkara ini. Kita akan berbincang dan membuat keputusan secepat mungkin kerana jika keadaan ini berlarutan, kemudahan sukan tidak akan digunakan sepenuhnya,” ujarnya.
Mengulas persiapan menjelang Sukan SEA 2027, beliau berkata kerja-kerja naik taraf kemudahan sukan di Sarawak sedang giat dilaksanakan bagi memastikan semua venue berada dalam keadaan terbaik.
Katanya, Stadium Sarawak kini ditutup sepenuhnya untuk kerja penambahbaikan menyeluruh dan dijangka siap sepenuhnya tiga hingga empat bulan sebelum September 2027.
Antara fasiliti yang terlibat termasuk stadium utama negeri, lapangan sasar menembak, gelanggang skuasy, tenis, renang serta beberapa venue lain yang akan diperkukuh bagi memenuhi piawaian pertandingan antarabangsa.-EDISI UKAS