SIBU: Projek naik taraf laluan pejalan kaki menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di SJKC Taman Rajang dan Surau Darul Taqwa Rejang Park telah siap sepenuhnya dan melalui pemeriksaan akhir hari ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata sebanyak RM200,000 diperuntukkan bagi pembinaan laluan berbumbung sepanjang lebih 200 meter di SJKC Taman Rajang.
Menurut beliau, sebelum ini kawasan tersebut tidak mempunyai perlindungan, sekali gus menyukarkan pergerakan pelajar terutama ketika hujan atau cuaca panas terik.
“Saya menerima banyak permintaan daripada pihak sekolah dan ibu bapa agar laluan berbumbung ini dibina.
"Kini pelajar boleh menunggu ibu bapa dalam keadaan lebih selamat dan selesa tanpa terdedah kepada hujan dan panas,” katanya ketika ditemui media selepas sesi pemeriksaan projek pada Rabu.
Tambahnya, beberapa lagi projek laluan berbumbung akan dilaksanakan di sekolah-sekolah lain di kawasan Pelawan, antaranya di SJKC Su Lai, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sibu, SMK Tung Hua, SJKC Tung Hua serta SJKC No.4.
Bagi SMK Bandar Sibu, pembinaan laluan berbumbung akan dipertimbangkan sama ada di dalam kawasan sekolah atau di seberang Jalan Ling Kai Cheng bagi memudahkan pelajar berkumpul dan menunggu ibu bapa dengan lebih selamat.
Di SMK Tung Hua dan SJKC Tung Hua pula, laluan berbumbung akan dibina di sepanjang laluan pejalan kaki yang menghadap Dewan Surah yang sering digunakan orang ramai.
Menurut Datuk Michael Tiang, pembinaan laluan berbumbung merupakan infrastruktur yang efektif dalam menggalakkan amalan berjalan kaki serta mengurangkan kesesakan lalu lintas akibat kenderaan berhenti terlalu lama di hadapan sekolah.
“Ia secara tidak langsung menggalakkan ibu bapa meletakkan kenderaan di lokasi yang lebih sesuai dan berjalan kaki di bawah laluan berbumbung. Konsep ini telah lama dipraktikkan di Singapura,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa perkhidmatan bas henti-henti baharu akan diperkenalkan pada tahun ini.
Sehubungan itu, lebih banyak laluan berbumbung dirancang untuk dibina bagi menghubungkan kawasan perumahan ke hentian bas sebagai usaha menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
“Kita mahu menyediakan kemudahan yang selamat dan selesa supaya orang ramai lebih yakin untuk menggunakan perkhidmatan bas,” katanya lagi.
Selain projek di sekolah berkenaan, beliau turut melakukan tinjauan ke atas projek di Surau Darul Taqwa Rejang Park yang melibatkan kerja-kerja pembinaan tempat letak kereta bertar serta sambungan atap surau dengan peruntukan sebanyak RM200,000.
Projek-projek berkenaan dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada pelajar dan komuniti setempat, selaras dengan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kemudahan awam dan infrastruktur rakyat di kawasan Pelawan.-EDISI UKAS