408 Penjawat Awam Terima Pingat Perkhidmatan Setia
KUCHING: Seramai 408 penjawat awam daripada 18 jabatan dan agensi Kerajaan Sarawak menerima Pingat Perkhidmatan Setia dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) Sarawak pada Rabu.
Majlis penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia
tersebut disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Majlis berkenaan merupakan penganjuran pertama bagi tahun 2026 yang melibatkan penerima daripada agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan sebagai pengiktirafan terhadap perkhidmatan cemerlang dan kesetiaan mereka.
Antara ketua jabatan yang menerima pingat ialah Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang, Residen Bahagian Serian, Caroline Cleophas Joseph, Pengarah Jabatan Veterinar Sarawak,Datu Dr Adrian Susin Ambud serta Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak, Datu Dr Cassidy Morris.
Turut menerima pengiktirafan ialah Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood, Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat dan Pengarah Jabatan Kebajikan Negeri Sarawak, Semawi Mohamad.
Selain itu, beberapa penerima lain turut diraikan atas perkhidmatan penuh taat setia dan dedikasi selama 39 tahun dalam sektor perkhidmatan awam negeri.
Antaranya ialah Iskandar Subeki dari Jabatan Tanah & Survei Sarawak, Davis Herould Awell, Johnny Wong serta Abu Bakar Zaidel yang mewakili Majlis Perbandaran Padawan.
Turut menerima pengiktirafan ialah Andy Christopher Goh dan Tay Teck Sian daripada Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak dan Lau Min Chu dari Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.
Pingat Perkhidmatan Setia merupakan simbol penghargaan kerajaan terhadap sumbangan penjawat awam yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab mereka kepada rakyat dan negeri Sarawak.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Speaker DUN Sarawak, Dato Idris Buang, Timbalan-Timbalan Menteri serta tetamu kenamaan lain.-EDISI UKAS