Datuk Michael Tiang Santuni Komuniti Pelawan, Agih Angpau di Pasar Jaya Li Hua
SIBU: Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee meneruskan tradisi menyantuni warga setempat beliau menerusi program pengagihan sampul merah (angpau) sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Program anjuran Pusat Khidmat Pelawan yang diadakan di Pasar Jaya Li Hua, pada Rabu itu menyaksikan Datuk Michael Tiang meluangkan masa kira-kira sejam beramah mesra dengan para peniaga serta pengunjung dalam suasana yang penuh ceria.
Selain mengedarkan sumbangan simbolik tersebut, beliau turut mengambil peluang untuk bertanya khabar serta mendengar maklum balas dan pandangan komuniti setempat mengenai isu-isu semasa di kawasan berkenaan.
Menurut Datuk Michael Tiang, keunikan Sarawak terletak pada keharmonian masyarakat majmuknya yang sentiasa hidup dalam semangat saling menghormati, terutama ketika meraikan musim perayaan.
“Perayaan seperti ini memberi ruang kepada kita untuk memperkukuh persefahaman dan menzahirkan penghargaan kepada komuniti yang menjadi tunjang kekuatan di kawasan ini,” ujar beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif turun padang seperti itu akan diteruskan secara konsisten bagi memastikan kebajikan dan aspirasi penduduk sentiasa mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak kerajaan.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan ucapan selamat menyambut Tahun Baharu Cina dengan harapan agar tahun ini membawa limpahan rezeki, kesejahteraan, serta kesihatan yang baik kepada semua warga Pelawan.
Menyentuh mengenai ketibaan bulan Ramadan yang bakal disambut umat Islam tidak lama lagi, beliau mendoakan agar segala persiapan berjalan lancar dan ibadah tersebut dapat dilaksanakan dalam suasana yang aman serta penuh keberkatan.- EDISI UKAS