Premier Sarawak Rakam Takziah Kepada Datu Dr Lulie Atas Pemergian Suami
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg meluangkan masa menziarahi kediaman Presiden Persatuan Tanah Gambut Malaysia dan Pengerusi Akademi Sains Malaysia (ASM) Sarawak, Datu Dr Lulie Melling susulan pemergian suami beliau, mendiang James Alfred Chabu pada Rabu.
Kehadiran Premier Sarawak mencerminkan keprihatinan serta sokongan kerajaan negeri terhadap keluarga mendiang dalam menghadapi detik sukar ini.
Sambil merakamkan takziah kepada Datu Dr Lulie, Premier Sarawak turut mengambil peluang bertemu ahli keluarga serta memberikan kata-kata semangat agar mereka tabah menerima ketentuan.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai dan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Martin Ben turut hadir bagi memberikan penghormatan terakhir serta menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.
Turut hadir, mantan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion yang menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada ramai pihak.
“Pemergian James amat dirasai oleh ramai pihak, khususnya sahabat dan kenalan beliau.
"Mendiang merupakan seorang yang sangat baik dan mudah didekati oleh semua,” katanya ketika ditemui media.
Mendiang James Alfred Chabu menghembuskan nafas terakhir pada Selasa di usia 65 tahun.
Beliau dikenang sebagai seorang yang peramah dan disenangi ramai.
Pemergiannya meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada keluarga, malah kepada sahabat handai serta kenalan rapat.-EDISI UKAS