Malaysia Airlines Tambah Kekerapan Penerbangan, Tampung Keperluan Musim Puncak
KUCHING: Malaysia Airlines akan menambah 24 penerbangan antara Kuala Lumpur dan Sarawak bersempena sambutan Tahun Baharu Cina bagi memastikan keperluan perjalanan penumpang dapat dipenuhi.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, penambahan itu melibatkan enam penerbangan ke Kuching, 16 ke Sibu dan dua ke Miri, sekali gus memperkukuh rangkaian udara ke negeri ini sepanjang tempoh perayaan.
Selain peningkatan kapasiti, syarikat penerbangan berkenaan turut memperkenalkan tambang tetap termasuk semua caj sebanyak RM339 bagi perjalanan sehala ke Sarawak untuk tempoh 11 hingga 23 Februari, sebagai langkah membantu orang ramai merancang perjalanan dengan kos lebih terkawal.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat wakil Malaysia Airlines Group (MAG) yang membentangkan perancangan perkhidmatan musim perayaan suku pertama 2026 melibatkan Malaysia Airlines dan Firefly ke destinasi di Sarawak.
Menurut Dato Sri Lee, kementeriannya menyambut baik kerjasama berterusan syarikat penerbangan dalam memastikan akses udara ke Sarawak kekal mencukupi, khususnya ketika musim perayaan utama yang menyaksikan peningkatan ketara pergerakan penumpang.
Tambah beliau, perancangan awal turut mengambil kira keperluan sempena Hari Raya Aidilfitri akan datang, dengan jangkaan pertambahan kekerapan penerbangan bagi laluan antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak.
“Kementerian akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia serta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi memantau kapasiti penerbangan dan memastikan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara,” katanya.
Dalam sesi sama, wakil MAG turut memaklumkan mengenai perubahan barisan pengurusan kanan kumpulan yang berkuat kuasa 1 Februari 2026.
Turut hadir bersama Ketua Perhubungan Kerajaan dan Industri MAG, Nita Malek, Ketua Perancangan Rangkaian, Leong Chuo Sheng, Ketua Stesen Kuching, Muhammad Yasser Rabusah, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak, Datu Wong Hee Sieng serta Ketua Bahagian Penerbangan, Dayang Nurhayati Abang Ahmad.- EDISI UKAS