Warga MINTRED Perkukuh Budaya Integriti Menerusi Ceramah & Ikrar Bebas Rasuah
KUCHING: Warga kerja Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak terus memperkukuh komitmen terhadap amalan kerja berintegriti apabila menyertai Program Ceramah Integriti dan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang berlangsung di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak, pada Rabu.
Program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran penjawat awam terhadap kepentingan integriti dan etika dalam pelaksanaan tugas harian, selain memberi pendedahan berkaitan isu rasuah serta implikasi perundangan sekiranya berlaku pelanggaran tatakelola.
Selain memperkukuh kefahaman berhubung peranan dan tanggungjawab setiap warga kerja, program berkenaan turut menjadi platform memperteguh komitmen kolektif melalui lafaz Ikrar Bebas Rasuah sebagai manifestasi iltizam menolak sebarang bentuk salah laku dan penyelewengan.
Ceramah integriti dan antirasuah telah disampaikan oleh Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO), Siti Nurainnie Bolhassan yang juga Pegawai di Pasukan Tatatertib Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia (UPPSM), Jabatan Premier Sarawak.
Beliau menekankan kepentingan tadbir urus yang telus, akauntabiliti serta pematuhan kepada undang-undang dalam memastikan perkhidmatan awam kekal diyakini rakyat.
Sementara itu, lafaz Ikrar Bebas Rasuah telah diketuai oleh Setiausaha Tetap MINTRED, Datu Lester Matthew dan disaksikan oleh Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Sarawak, Mohd Hamzah Abdullah.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan MINTRED dalam membudayakan amalan kerja berintegriti dan berakauntabiliti selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak ke arah tadbir urus yang cekap, bersih dan berwibawa.-EDISI UKAS