Kempen Derma Darah Sempena 45 Tahun LCDA Perkukuh Semangat Kemanusiaan
KUCHING: Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) terus memperkukuh komitmen terhadap kesejahteraan masyarakat menerusi penganjuran Program Kempen Derma Darah: 45 Tahun LCDA Bersama Komuniti yang berlangsung di Bangunan Wisma Satok, di sini, pada Khamis.
Program yang diadakan dari jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang itu merupakan edisi kelima sejak diperkenalkan pada tahun 2018 dan telah melibatkan hampir 200 penderma secara keseluruhan.
Inisiatif tersebut bertujuan menyokong pihak hospital dalam memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi bagi keperluan kecemasan serta rawatan pesakit.
Penganjuran kempen ini selari dengan tema sambutan ulang tahun ke-45 LCDA yang mencerminkan legasi agensi berkenaan dalam memudah cara transformasi pembangunan sosioekonomi di Sarawak.
Pada masa sama, ia berperanan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menderma darah secara konsisten sebagai satu tanggungjawab sosial dan kemanusiaan.
Program berkenaan merupakan inisiatif kerjasama antara LCDA dan Tabung Bekalan Darah Hospital Umum Sarawak (HUS) di bawah payung Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Kolaborasi strategik tersebut bukan sahaja menyokong keperluan sistem kesihatan negeri, malah memperlihatkan kesungguhan LCDA dalam menerajui pembangunan mampan dan inklusif.
Pelaksanaannya turut sejajar dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030 serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), khususnya dalam aspek kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.
Kumpulan sasaran program ini merangkumi kakitangan LCDA, wakil agensi lain, pengunjung Wisma Satok serta orang awam, sekali gus mengukuhkan hubungan antara agensi dan komuniti melalui penglibatan langsung dalam aktiviti berimpak tinggi kepada rakyat.
Inisiatif seumpama ini diharap dapat diteruskan secara berkala sebagai platform memperkasakan semangat kesukarelawanan dan memupuk budaya prihatin dalam kalangan masyarakat, selaras dengan peranan LCDA sebagai agensi pembangunan yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat.-EDISI UKAS