Belia Disaran Pilih Bidang STEM dan TVET Perkukuh Tenaga Kerja Industri Sarawak
BINTULU: Golongan belia disaran merancang hala tuju pendidikan dengan memberi penekanan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini menjadi pemacu utama keperluan industri berteknologi tinggi di Sarawak.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, pembangunan pesat sektor perindustrian khususnya di Samalaju menuntut lebih ramai tenaga kerja mahir dan separa mahir dalam bidang teknikal serta teknologi.
Menurut beliau, pemilihan bidang pengajian yang bersesuaian dan berfokus mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan, sekali gus mengurangkan jurang antara keperluan industri dan penawaran tenaga kerja tempatan.
“Bidang kemahiran teknikal kini menjadi keperluan utama industri dan menawarkan peluang kerjaya yang lebih stabil.
“Ini merupakan peluang besar kepada belia tempatan untuk membina masa depan dalam sektor perindustrian di kawasan sendiri,” katanya ketika berucap pada Program Juh Ngopi bersama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Tatau, pada Khamis.
Beliau turut menegaskan bahawa terdapat pelajar yang masih memilih bidang pengajian bersifat umum tanpa mempertimbangkan kehendak pasaran kerja semasa, sekali gus menyukarkan mereka menembusi pasaran pekerjaan yang semakin kompetitif.
Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa dan pihak sekolah agar memainkan peranan proaktif dalam membimbing pelajar membuat keputusan pendidikan yang strategik dan sejajar dengan keperluan ekonomi negeri.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan belia di Bintulu dan Tatau supaya memanfaatkan peluang pendidikan dan latihan kemahiran yang tersedia bagi meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan keluarga.
Tegasnya, pendidikan berasaskan kemahiran bukan sahaja memperkasa modal insan tempatan, malah menyumbang secara langsung kepada pembangunan ekonomi Sarawak yang mampan dan berdaya saing.-EDISI UKAS