Rakyat Diseru Manfaatkan Inisiatif Kerajaan, Gunakan Media Sosial Secara Berhemah
BINTULU: Masyarakat diingatkan agar memanfaatkan sepenuhnya pelbagai inisiatif dan bantuan yang disediakan kerajaan bagi meningkatkan kesejahteraan hidup serta mengurangkan jurang pembangunan.
Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan, berkata masih terdapat pelbagai kemudahan dalam bidang kebajikan dan pendidikan yang belum dimohon oleh rakyat.
Menurut beliau, peranan ketua masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan amat penting dalam memastikan maklumat berkaitan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan.
“Bantuan telah disediakan, namun masih ramai yang belum memohon kerana kurang maklumat.
“Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan dalam menyebarkan informasi ini,” katanya ketika berucap dalam Program Juh Ngopi Ngan UKAS di Tatau pada Khamis.
Beliau menekankan bahawa pendekatan turun padang membolehkan kerajaan mendengar sendiri suara rakyat serta mengenal pasti keperluan sebenar masyarakat.
Selain itu, Awang Putrayusrie turut mengingatkan masyarakat supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang tidak sahih.
Penyebaran berita palsu, gambar atau video yang dimanipulasi, termasuk menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Orang ramai perlu menyemak kesahihan maklumat sebelum mempercayai dan menyebarkannya supaya tidak menimbulkan salah faham,” ujarnya.
Beliau juga berharap agar usaha berterusan ini dapat memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menikmati kemudahan yang disediakan kerajaan, selain memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat.-EDISI UKAS