ASAJAYA: Pejabat Daerah Asajaya terus mempergiat usaha memerangi gejala penyalahgunaan dadah menerusi penganjuran Bengkel Penyelarasan Program One Stop Committee (OSC) MIDS dan Pencegahan Dadah.
Bengkel yang melibatkan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari Daerah Asajaya dan Daerah Kecil Sadong Jaya itu bertujuan untuk memperkasakan peranan pemimpin akar umbi dalam merangka strategi pencegahan yang lebih inklusif dan berkesan di peringkat kampung.
Dalam sesi bengkel tersebut, sebanyak 13 kumpulan KMKK telah dibentuk dan ditugaskan untuk menyediakan kertas cadangan (proposal) bertemakan isu komuniti serta kaedah pencegahan dadah yang bersesuaian dengan demografi kawasan masing-masing.
Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa peranan KMKK adalah sangat krusial sebagai barisan hadapan dalam mengesan dan membendung pengaruh negatif di dalam masyarakat.
"Pemimpin masyarakat harus mempunyai perancangan yang jelas.
"Melalui penyediaan proposal bertema ini, kita mahu setiap program yang dilaksanakan nanti benar-benar memberi impak kepada golongan sasar, terutamanya belia, agar mereka tidak terjebak dengan ancaman dadah dan substans," katanya di sini semalam.
Beliau turut menambah bahawa kerjasama melalui platform OSC ini membolehkan penyelarasan yang lebih sistematik antara agensi kerajaan dan komuniti bagi memastikan zon luar bandar kekal selamat dan sejahtera.
Selain sesi pembentangan proposal, bengkel ini turut memberi penekanan kepada aspek pengurusan intervensi sosial dan pengukuhan jati diri komuniti sebagai benteng pertahanan utama daripada gejala sosial.
Hadir sama ialah Penolong Pegawai Daerah Asajaya, Hasanah Bujang, pegawai-pegawai daripada Pejabat Daerah Asajaya serta semua KMKK Daerah Asajaya dan Sadong Jaya.-EDISI UKAS