UNIMAS Perkukuh Kepimpinan Kelestarian Melalui BoLTS 1/2026
KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) terus memperkukuh peranan sebagai peneraju kelestarian apabila menganjurkan Borneo Leadership Talk Series (BoLTS) 1/2026 yang menghimpunkan pelbagai pemegang taruh termasuk akademia, industri, agensi kerajaan, masyarakat sivil, komuniti tempatan serta media.
Program tersebut menampilkan ucaptama oleh Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Abdul Razak Ahmad yang menyampaikan pandangan mendalam berkaitan hubungan antara dasar, kelestarian dan pembangunan masyarakat.
Perkongsian tersebut selari dengan keutamaan strategik UNIMAS dalam memperkasa kerangka institusi baharu yang menekankan kelestarian jangka panjang serta impak kolaboratif.
Menyampaikan amanat Naib Canselor, Prof. Dr. Fitri Suraya Mohamad Hapni Joblie, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa) memaklumkan bahawa Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit merakamkan penghargaan kepada Pejabat Penolong Naib Canselor (Rangkaian Industri-Komuniti dan Kelestarian) serta UNIMAS Leadership Centre atas kejayaan menganjurkan program tersebut.
Beliau turut menyampaikan penghargaan Naib Canselor kepada Dr Abdul Razak Ahmad atas perkongsian perspektif yang disifatkan sangat relevan dengan hala tuju strategik universiti.
Menurut amanat tersebut, perkongsian berkenaan memperkukuh kepentingan membentuk masyarakat yang berilmu, bertanggungjawab serta berfikiran jauh demi kemajuan Sarawak dan negara.
Dalam masa sama, UNIMAS turut memperkenalkan “UNIMAS Lestari”, satu karya budaya simbolik yang mencerminkan nilai penghargaan terhadap alam sekitar, kreativiti, ketahanan serta perubahan secara bertanggungjawab.
Inisiatif tersebut menegaskan bahawa kelestarian di UNIMAS bukan sahaja bersifat strategik, malah turut menjadi sebahagian daripada budaya institusi.
Program berkenaan juga menjadi pengenalan awal kepada pelancaran Pelan Strategik UNIMAS 2030 yang dijadualkan berlangsung pada 13 Februari 2026. Pelan tersebut menggariskan aspirasi universiti bagi tempoh lima tahun akan datang serta memperkukuh penyelarasan dengan agenda pembangunan negeri, aspirasi nasional dan kerangka kelestarian global.
Antara inisiatif utama dalam pelan tersebut ialah penubuhan Konsortium Akademik–Industri–Komuniti (AIC) bagi memperkukuh kerjasama strategik universiti dengan industri dan komuniti, selain pelaksanaan Creative and Aesthetic Sustainability Expression (CASE) Framework yang mengintegrasikan kreativiti dan budaya sebagai pemacu amalan kelestarian selaras visi Kementerian Pendidikan Tinggi serta agenda SDG 2030.
Dalam usaha memperkukuh agenda kelestarian secara menyeluruh, UNIMAS turut merancang memperkenalkan UNIMAS Sustainability Masterplan 2030 yang akan mengintegrasikan elemen kelestarian dalam semua aspek operasi institusi, termasuk pengurusan alam sekitar, pengurangan karbon, kesejahteraan sosial, tadbir urus bertanggungjawab serta impak kepada komuniti.
Naib Canselor turut menegaskan komitmen UNIMAS dalam melahirkan graduan bertanggungjawab dan pemimpin berorientasikan penyelesaian yang mampu menyumbang secara signifikan kepada masyarakat dan alam sekitar. Beliau menekankan bahawa kelestarian memerlukan inovasi struktur, ekspresi kreatif serta kerjasama pelbagai sektor sebagai asas kepada hala tuju strategik universiti.
Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah Universiti (Wakil Senat), Prof. Dr. Mohammad Zulkarnaen Ahmad Narihan, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof. Ir. Dr Sit Noor Linda Taib serta Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri Masyarakat dan Kelestarian) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Madya Ts. Noraziah Abdul Wahab.-EDISI UKAS