KPTM Perkukuh Akses Pendidikan Di Sarawak Melalui Jelajah Bersama Komuniti
ASAJAYA: Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) terus memperkukuh komitmennya dalam memperluas akses pendidikan berkualiti di Bumi Kenyalang menerusi penganjuran Program KPTM Bersama Komuniti Daerah Asajaya dan Daerah Kecil Sadong Jaya.
Program yang berlangsung di Dewan Tan Sri Datuk Amar Hj. Abg Ikhwan Zaini, Pejabat Daerah Asajaya itu bertujuan mendekatkan institusi pendidikan di bawah naungan MARA tersebut dengan masyarakat setempat, khususnya di Asajaya dan Sadong Jaya.
Timbalan Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar KPTM, Azlan Hassan berkata, pihaknya optimis untuk mengukuhkan kehadiran KPTM di Sarawak dan membuka peluang kepada anak-anak memandangkan kawasan Samarahan mempunyai potensi besar untuk diangkat sebagai hab pendidikan yang strategik.
"KPTM kini menawarkan lebih 50 program pengajian daripada peringkat asasi sehingga kedoktoran (PhD). Dengan rekod hampir 70,000 graduan dan kadar kebolehpasaran mencecah 94 peratus, kami yakin KPTM mampu melahirkan modal insan yang relevan dengan keperluan industri semasa," katanya di sini pada Jumaat.
Mengulas mengenai inisiatif khusus untuk wilayah Borneo, Azlan berkongsi bahawa banyak kelebihan yang akan dinikmati pelajar termasuklah penginapan hostel sepanjang pengajian, elaun pelajar dan banyak lagi.
Turut diadakan bagi memeriahkan program tersebut adalah pameran daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebagai pengisian elemen kesedaran sosial kepada para pengunjung. Pameran ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada golongan belia dan ibu bapa mengenai bahaya penyalahgunaan dadah serta kepentingan mengekalkan gaya hidup sihat selari dengan matlamat melahirkan modal insan yang berkualiti.
Sementara itu, Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin menyifatkan kerjasama antara KPTM dan Pejabat Daerah Asajaya sebagai satu langkah proaktif dalam membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada generasi muda di kawasan tersebut.
Beliau berkata, inisiatif seperti 'Insentif Borneo' memberi kelebihan besar kepada pelajar Sarawak untuk melanjutkan pengajian di institusi MARA, sekaligus menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi setempat melalui penghasilan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
"Saya menyeru kepada semua ketua masyarakat, ketua kampung, dan ketua kaum agar bersama-sama membantu menyebarluaskan maklumat mengenai peluang pendidikan ini supaya ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat di kawasan masing-masing," tambah beliau.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengurus Menjalankan Tugas Timbalan Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar KPTM, Azlan Hassan, Eksekutif Bahagian Kemasukan Pelajar KPTM, Awang Mohamad, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan dan wakil pengetua dari SMK Daerah Asajaya.-EDISI UKAS