Kerajaan Sarawak Komited Budaya Tadbir Urus Berintegriti
MUKAH: Kerajaan Sarawak kekal komited dalam memperkasa dan membudayakan pentadbiran yang berintegriti, pengurusan tatakelola yang baik, bebas rasuah serta penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya berharap agar Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) terus memperkukuh tadbir urus yang baik, mengurus risiko integriti dengan bijaksana serta menjadi contoh teladan kepada masyarakat.
"Kepimpinan berintegriti akan melahirkan komuniti yang bersatu, berdaya tahan dan mampu bergerak seiring dengan aspirasi pembangunan Sarawak yang mampan dan inklusif," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Kursus Modul Integiriti Kepimpinan Masyarakat (MIKM) Tahap 3 (Rintis) Siri 1 Bilangan 1/ 2026 Bahagian Mukah di Hotel Kingwood, di sini, pada Khamis.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine dan ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi.
Datuk Dr Juanda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng turut menegaskan, amalan integriti penting dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab bagi merealisasikan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk menjadikan Sarawak sebagai wilayah maju menjelang tahun 2030.
Setakat ini, sebanyak 18 siri MIKM Tahap 1 dan lapan siri Tahap 2 telah dilaksanakan dari tahun 2023 hingga 2025 di 15 daerah seluruh Sarawak, melibatkan hampir 1,300 peserta.
Untuk rekod, sebanyak 18 siri MIKM Tahap 1 dan lapan siri Tahap 2 telah dilaksanakan dari tahun 2023 hingga 2025 di 15 buah daerah seluruh Sarawak yang melibatkan hampir 1300 peserta.-EDISI UKAS