Sarawak Perhebat Agenda Pembangunan Seiring Semangat Kuda Api
LIMBANG: Semangat Tahun Kuda Api yang melambangkan keberanian, ketekunan dan semangat juang berterusan disifatkan selari dengan aspirasi pembangunan Sarawak yang kini bergerak agresif ke arah mencapai status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, tahun 2026 bukan sahaja signifikan dalam kalendar Lunar Cina, malah menandakan permulaan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Menurut beliau, di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, pelbagai projek strategik berimpak tinggi telah dan sedang dilaksanakan bagi memperkukuh asas ekonomi negeri.
“Antaranya termasuk Lebuhraya Pan Borneo, Northern Coastal Highway serta Sarawak-Sabah Link Road yang mempertingkat rangkaian perhubungan dan merangsang pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Gabungan Persatuan-Persatuan Cina Bahagian Limbang bersama Persatuan Foochow Limbang, pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan pembangunan sektor tenaga seperti gas asli cecair (LNG), tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen hijau yang membuka peluang pelaburan baharu serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Semangat Kuda Api harus menjadi dorongan kepada kita semua untuk terus bekerja keras, memperkukuh pertumbuhan ekonomi serta mempercepat pembangunan infrastruktur dan teknologi demi masa depan Sarawak yang lebih makmur,” ujarnya.
Tambah beliau, mulai tahun ini Program Pendidikan Percuma sehingga ke peringkat universiti akan dilaksanakan sebagai usaha melahirkan generasi muda berilmu dan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri masa hadapan.
Mengulas perkembangan semasa di Limbang, beliau berkata aktiviti ekonomi sepanjang 2025 menunjukkan pertumbuhan positif susulan penganjuran pelbagai acara serta peningkatan kehadiran pelancong yang memberi limpahan manfaat kepada komuniti setempat.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Sarawak agar terus bersatu padu dan memberikan sokongan padu kepada kepimpinan negeri bagi memastikan agenda pembangunan dapat direalisasikan sepenuhnya menjelang 2030.
Turut hadir ADUN Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Cina Bahagian Limbang, Wong King Hoong, Pengerusi Persatuan Foochow Limbang Ngu Tiong Kai, wakil Residen Bahagian Limbang Rozita Kulai, wakil Pegawai Daerah Limbang, Mariati Samat, Pengerusi Majlis Daerah Limbang Sufian Mohat, serta tetamu lain. - EDISI UKAS