Manfaatkan BSP, Tingkat Keselamatan Rumah Sempena TBC
BINTULU: Penduduk di daerah ini digalakkan memanfaatkan aplikasi Program Balik Kampung Selamat (BSP) menerusi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi membantu pihak polis memantau keselamatan rumah yang ditinggalkan sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) 2026.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Supt. Nixon Joshua Ali berkata, penggunaan aplikasi berkenaan membolehkan maklumat berkaitan tempoh ketiadaan pemilik rumah direkodkan bagi tujuan rondaan keselamatan.
Menurut beliau, langkah itu membantu pihak polis merancang rondaan dengan lebih sistematik sekali gus mengurangkan risiko kejadian jenayah di kawasan perumahan.
“Setakat ini, lebih 3,000 penduduk telah berdaftar melalui aplikasi BSP dan ini menunjukkan tahap kesedaran masyarakat terhadap keselamatan semakin baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Kempen Keselamatan Jalan Raya Ops Selamat sempena TBC 2026 di hadapan Balai Bomba Bintulu, di sini, pada Jumaat.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu , Johnny Pang Leong Ming.
Beliau menambah, penduduk yang ingin pulang ke kampung atau ke daerah lain disarankan mengemas kini maklumat lebih awal supaya pemantauan dapat dilaksanakan secara berterusan.
Katanya, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha Polis Diraja Malaysia dalam memperkukuh keselamatan komuniti sepanjang pelaksanaan Ops Selamat musim perayaan.
“Dengan kerjasama orang ramai, rondaan dapat dipertingkatkan dan keselamatan kawasan perumahan dapat dipelihara dengan lebih berkesan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas, memandu secara berhemah serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.
Tambahnya, pihak polis akan terus mempergiatkan operasi pemeriksaan dan rondaan sepanjang musim perayaan bagi menjamin keselamatan orang ramai.
Beliau turut menyeru masyarakat agar terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa demi memastikan suasana perayaan berlangsung dengan aman dan selamat.-EDISI UKAS