Lawatan Projek RTP & Sesi Libat Urus Perkukuh Agenda Pembangunan Di Lubok Antu
LUBOK ANTU: Satu sesi libat urus dan lawatan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) telah diadakan bersama penduduk Rumah Jimmy Guntor, Rakut di sini bagi membincangkan pelbagai isu pembangunan, kebajikan serta keperluan penduduk rumah panjang di kawasan Lubok Antu dan Batang Ai.
Program anjuran Pusat Khidmat GPS N.34 Batang Ai dengan kerjasama Jawatankausa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rakut Lubok Antu itu pada Jumaat disertai kira-kira 400 penduduk setempat.
Ia turut Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh bersama isteri, Datin Dorothy Sylvester Pungga.
Antara isu utama yang dibangkitkan termasuk urusan pentadbiran seperti pemindahan hak milik kepada waris, permohonan Surat Kuasa Mentadbir (LA) bagi pemilik yang telah meninggal dunia serta perkara berkaitan keselamatan dan pemilikan senjata patah.
Isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) turut diberi perhatian dengan penekanan terhadap usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam menuntut dan mengembalikan hak-hak negeri.
Kerajaan negeri juga sedang memperkukuh rundingan bagi meningkatkan mutu pendidikan serta memperluas peluang pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi awam seperti UNIMAS dan UiTM.
Dari sudut pembangunan, beberapa cadangan diketengahkan termasuk projek pembangunan hotel baharu serta pengukuhan sektor eko-pelancongan di Batang Ai dan Lubok Antu.
Selain itu, pembesaran Pejabat Daerah Lubok Antu khususnya kemudahan bilik mesyuarat turut dirancang di bawah agenda pembangunan kawasan sempadan.
Kerjasama bersama SESCO Berhad dan Jabatan Perhutanan bagi pelaksanaan perimeter survey turut dibincangkan, selain pemakluman peruntukan RM10,000 untuk Biro Wanita dan RM15,000 untuk JKKK serta cadangan projek buluh dari India sebagai inisiatif ekonomi setempat.
Beberapa permintaan khusus penduduk turut dikemukakan, termasuk pembaikan atap dapur melibatkan 49 pintu, pemasangan jubin dinding, lampu solar, pembinaan jalan ke rumah persendirian berhampiran serta penambahbaikan infrastruktur seperti siling, jubin luar, sengkuap, jalan simen dan tar di bawah projek RTP.
Secara keseluruhannya, sesi dialog ini mencerminkan komitmen berterusan pemimpin dan agensi kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara serta pembangunan luar bandar di Lubok Antu dan Batang Ai dilaksanakan secara menyeluruh dan inklusif.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Lubok Antu, Akoi Ejau, Setiausaha MDLA, Ting Tiew Lik, Wakil Pegawai Pendidikan Daerah Lubok Antu, Tubau Limbai, Ahli Lembaga Amanah TEKUN Nasional, Jampi Tutong, Pemanca Grang Juben, ketua-ketua masyarakat, ahli-ahli MDLA serta penduduk sekitar.-EDISI UKAS