BINTANGOR: Sambutan Tahun Baharu Cina di SMK Tong Hua Tahun 2026 bukan sekadar meraikan tradisi, malah menjadi platform menyemarakkan semangat kecemerlangan dalam kalangan pelajar apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing hadir menyuntik inspirasi kepada warga sekolah.
Majlis yang berlangsung pada Jumaat itu turut dihadiri Pengetua merangkap Pengerusi Pengelola, Law Sie Ngo, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Meradong Sektor Pembelajaran, Joseph Ling Sui Ying, Yang Dipertua PIBG, Soo Kwok Chiong, wakil Lembaga Pengurus Sekolah, Reverend Tang Sin Hie serta Timbalan Pengerusi Persatuan Alumni, Ling Eng Ming.
Dalam ucapannya, Datuk Ding menzahirkan kegembiraan dapat bersama warga sekolah meraikan perayaan yang signifikan dalam kalendar masyarakat Tiong Hua.
Beliau turut menyentuh simbolik Tahun Kuda 2026 yang dikaitkan dengan konsep “Qian Li Ma” atau Kuda Seribu Batu dalam sastera klasik, melambangkan ketahanan, kecekalan dan semangat untuk terus maju.
Sehubungan itu, beliau berharap para pelajar mencontohi semangat tersebut dengan berani mengejar cita-cita, memperkasa diri dalam bidang teknologi digital serta berusaha mengharumkan nama Meradong di peringkat lebih tinggi.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa peranan guru dan ibu bapa amat penting sebagai pembimbing dalam mencungkil bakat serta membentuk sahsiah generasi muda.
Menurut beliau, pendidikan kekal sebagai asas utama dalam membina masa depan anak-anak di Meradong dan Sarawak. Justeru, komitmen untuk menyokong pembangunan sekolah akan diteruskan melalui kerjasama erat antara pihak sekolah, PIBG dan Lembaga Pengurusan Sekolah.
Sebagai tanda sokongan berterusan, Datuk Ding turut mengumumkan penyaluran geran khas berjumlah RM10,000 kepada PIBG SMK Tong Hua bagi melaksanakan pelbagai aktiviti tahunan sepanjang 2026.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah atas usaha mengekalkan tradisi sambutan yang bukan sahaja memartabatkan warisan budaya, malah mengukuhkan perpaduan dalam kalangan warga sekolah dan komuniti setempat. –EDISI UKAS