Skuad Prihatin PERKESO Kuching Serah Bantuan Kepada Waris Orang Berinsuran Di Bau
BAU: Skuad Prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kuching, terus menyerahkan bantuan kepada waris pencarumnya di bawah Lindung Pekerja PERKESO di Bau pada sesi penyerahan kotak Prihatin kepada Waris Orang Berinsuran, Magdeline Aloh Ahe pada Khamis.
Majlis penyerahan dilaksanakan di Pejabat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru oleh Pengarah PERKESO Negeri, Tan Phang Chia kepada waris yang merupakan seorang ibu tunggal yang juga ibu angkat kepada mendiang Michael Alden yang telah meninggal dunia disebabkan masalah kesihatan kronik.
Turut hadir menyaksikan sesi penyerahan tersebut ialah, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep.
Sementara itu menurut Tan, sumbangan Kotak Prihatin dan Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM3,000 serta bayaran pertama Pencen Penakat PERKESO kepada waris Orang Berinsuran hasil keringat semasa mendiang bekerja dan dicarum melalui PERKESO sebagai balasan pengorbanan seorang ibu yang telah membesarkannya dari sejak kecil hinggalah pengakhiran hidup mendiang. -EDISI UKAS