Kerepek Pisang Warisan Tembusi Pasaran Antarabangsa
SARATOK: Usaha berterusan seorang usahawan tempatan dalam mengembangkan perusahaan kerepek pisang akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya menembusi pasaran luar negara.
Pengusaha Kerepek Pisang Warisan, Jamilah Unai berkata, perniagaan yang bermula secara kecil-kecilan pada tahun 2012 itu berkembang lebih pesat sejak 2022 selepas kapasiti pengeluaran diperbesarkan.
Menurut beliau, syarikatnya kini mampu memproses antara tiga hingga empat tan kerepek pisang sebulan bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.
“Alhamdulillah, dengan sokongan dan bantuan daripada pihak kerajaan, perusahaan ini dapat diperkembangkan sehingga memiliki Pusat Pemprosesan Kerepek Pisang Warisan sendiri di Taman Muhibbah, Saratok,” katanya.
Majlis perasmian pusat pemprosesan tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat, pada Jumaat.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan kejayaan usahawan seperti Jamilah wajar dijadikan inspirasi kepada generasi muda dan usahawan tempatan kerana mampu mewujudkan rantaian ekonomi yang positif di peringkat akar umbi.
“Perkembangan industri kerepek pisang ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, malah memberi manfaat kepada pekebun tempatan yang kini mempunyai permintaan pasaran lebih stabil sekali gus menggalakkan peningkatan hasil pertanian,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan bahawa kawasan Saratok berpotensi untuk terus maju selaras dengan pelbagai inisiatif pembangunan yang sedang dilaksanakan.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Kalaka, Mohamad Duri dan Pegawai Daerah Saratok, Mohamad Dino Ami.–EDISI UKAS