Petanque Perkukuh Gaya Hidup Sihat, Cungkil Bakat Belia Batang Sadong
SADONG JAYA: Penganjuran Pertandingan Boules (Petanque) Kategori Beregu di Padang Sukan Boules Batang Sadong, Kampung Rangawan, hari ini bukan sekadar medan persaingan sihat, malah menjadi platform penting dalam memperkasakan gaya hidup aktif serta mencungkil bakat sukan dalam kalangan belia dan komuniti setempat.
Program anjuran Kelab Sukan Boules Batang Sadong itu mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 59 pasukan dari Kuching, Samarahan, Sebuyau, Gedong, Simunjan dan Sadong Jaya, melibatkan kehadiran kira-kira 150 peserta dan penyokong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, sukan petanque bukan sahaja menguji ketepatan balingan dan strategi permainan, malah menuntut semangat berpasukan yang tinggi khususnya dalam kategori beregu.
“Dalam kategori beregu, kejayaan bukan bergantung kepada kehebatan individu semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama, persefahaman serta komunikasi yang berkesan antara pasangan,” katanya ketika ditemui wartawan UKAS semasa menyaksikan pertandingan tersebut pada Sabtu.
Beliau turut melahirkan rasa gembira dengan sambutan yang diterima, menyifatkannya sebagai petanda positif terhadap perkembangan sukan berkenaan di kawasan Batang Sadong.
“Saya amat berbesar hati melihat penyertaan yang begitu memberangsangkan. Ini membuktikan minat masyarakat terhadap sukan petanque semakin berkembang dan wajar terus diperkasakan sebagai antara aktiviti rekreasi utama komuniti,” tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan para peserta agar sentiasa mengamalkan semangat kesukanan, menghormati pihak lawan serta pengadil sepanjang pertandingan berlangsung.
“Jadikan kejohanan ini sebagai medan untuk memperkukuh persahabatan dan perpaduan, bukan sekadar mengejar kemenangan,” tegasnya.
Sementara itu, Presiden Sukan Boules Batang Sadong, Tahir Ariffin berkata, penganjuran program seumpama ini merupakan platform terbaik untuk menggalakkan interaksi sosial serta memperkenalkan sukan boules secara lebih meluas kepada masyarakat.
“Kami berharap melalui kejohanan ini, bakat-bakat tempatan dapat dikenal pasti dan diketengahkan untuk mewakili daerah dalam kejohanan peringkat negeri dan kebangsaan,” ujarnya.
Kejohanan tersebut menawarkan hadiah wang tunai RM1,200 kepada juara, RM700 bagi naib juara, RM400 untuk tempat ketiga bersama serta RM120 setiap satu bagi tempat kelima hingga kelapan.
Turut hadir ialah isteri Awla, Puan Napsiah Abang Kaderi, Presiden Sukan Boules Batang Sadong Tahir Ariffin, Ketua Zon 4 Rangawan Rafendy Ariffin, Ketua Kaum Kampung Rangawan Tegak Matnor, Ketua Kaum Kampung Tanjung Kelaso Idris Dawi dan Ketua Kaum Kampung Sungai Bundong Iban Sujar Usop.- EDISI UKAS