Komuniti Tambirat Lot Bersatu Tenaga Bersih Masjid, Cegah Aedes Menjelang Ramadan
ASAJAYA: Semangat kebersamaan dan perpaduan komuniti jelas terserlah apabila penduduk Kampung Tambirat Lot berganding bahu menjayakan Program Gotong-Royong Perdana sebagai persiapan menyambut Ramadan 2026.
Program yang bermula seawal jam 7.00 pagi di perkarangan Masjid Darul Rahmah itu memberi tumpuan kepada kerja-kerja pembersihan, pengindahan kawasan masjid serta persekitaran kampung bagi memastikan keselesaan jemaah sepanjang bulan suci nanti.
Inisiatif berkenaan merupakan kerjasama strategik antara Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tambirat Lot, Jawatankuasa Masjid Darul Rahmah dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Tambirat Lot.
Penduduk yang hadir turut membawa peralatan sendiri sebagai tanda komitmen terhadap penjagaan kebersihan premis awam dan pengukuhan ukhuwah sesama jiran tetangga. Selain persediaan fizikal menyambut Ramadan, program tersebut turut menyemarakkan kesedaran ke arah pembudayaan gaya hidup bersih selari dengan tuntutan agama.
Dalam masa sama, aktiviti turut memberi penekanan terhadap aspek kesihatan awam menerusi usaha pencegahan pembiakan nyamuk Aedes dengan membersihkan kawasan takungan air dan lokasi berisiko. Langkah proaktif itu diambil sebagai menyahut saranan Pejabat Daerah Asajaya bagi memastikan kampung sentiasa selamat daripada ancaman demam denggi.
Pengerusi JKKK Kampung Tambirat Lot, Zamhari Su’ut berkata, kerjasama erat penduduk menjadi tunjang utama keharmonian komuniti setempat.
“Kerjasama padu yang ditunjukkan hari ini mencerminkan keutuhan komuniti kita. Kita bukan sahaja mahu memastikan masjid ini bersih untuk keselesaan sepanjang Ramadan, malah membudayakan persekitaran sihat dan selamat daripada ancaman penyakit seperti denggi,” katanya ketika ditemui.
Program tersebut berjaya menghimpunkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, remaja dan golongan dewasa, sekali gus memperlihatkan penglibatan inklusif komuniti di bawah naungan KRT Tambirat Lot.
Penganjuran ini bukan sahaja memberi wajah baharu yang lebih bersih kepada Masjid Darul Rahmah, malah menjadi platform memperkukuh jaringan kerjasama antara kepimpinan akar umbi dalam memastikan kesejahteraan serta keharmonian penduduk terus terpelihara.-EDISI UKAS