“Kamek Prihatin, Kitak Penting” Perkukuh Jambatan Kerajaan Dan Rakyat
BETONG: Semangat kebersamaan dan keprihatinan terserlah dalam pelaksanaan Program Outreach Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) bersama rakan strategik bagi Zon Betong 2026 yang mengangkat tema “Kamek Prihatin, Kitak Penting”.
Program tersebut diserikan dengan kehadiran Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas bersama isteri, Datin Amar Dato Doreen Mayang, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah dan Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam.
Selain itu, turut hadir Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, ADUN Beting Maro Dato Razaili Gapor, ADUN Kalaka Mohammad Duri, Pengerusi Sarawak Digital Economic Corporation (SDEC) Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas.
Dalam ucapannya, Dato Sri Fatimah Abdullah menegaskan bahawa pendekatan outreach atau jangkauan komuniti merupakan jambatan penting antara kerajaan dan rakyat dalam memastikan setiap inisiatif kebajikan sampai terus kepada kumpulan sasar.
Menurut beliau, program seumpama ini bukan sekadar acara rasmi, tetapi menjadi platform strategik untuk menyampaikan maklumat, memudahkan akses kepada bantuan serta memperkukuh jaringan kerjasama antara kementerian dan rakan strategik.
“Ini adalah outreach pertama untuk tahun 2026, ada lagi outreach yang lain. Tahun lepas kita mengadakan tiga.
“Kita telah meletakkan KPI kita untuk memastikan program ini ‘Kamek Prihatin, Kitak Penting’ sampai ke seluruh pelusuk Sarawak,” ujarnya semasa berucap pada program tersebut yang diadakan di Dewan Masyarakat Spaoh pada Sabtu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan, sekali gus membuktikan komitmen berterusan dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi agenda utama.
Katanya lagi, kerajaan negeri di bawah pimpinan Premier Sarawak terus memperkenalkan pelbagai inisiatif kebajikan merangkumi pendidikan, pemerkasaan wanita, bantuan keluarga berpendapatan rendah, sokongan kepada badan bukan kerajaan (NGO) serta manfaat kesihatan untuk warga emas.
“Pendekatan turun padang melalui program outreach ini diyakini mampu memperkukuh hubungan antara kerajaan dan komuniti setempat, selaras dengan aspirasi pembangunan inklusif negeri agar tiada rakyat yang tercicir daripada arus kemajuan,” katanya lagi.
Program Outreach KPWK Bersama Rakan Strategik: "Kamek Prihatin, Kitak Penting" Zon Betong Tahun 2026 berlangsung selama dua hari iaitu 14 hingga 15 Februari 2026 di Dewan Masyarakat Spaoh dengan pelbagai taklimat, demonstrasi dan pembukaan 24 buah gerai pameran, kaunter perkhidmatan Jabatan, agensi kerajaan dan NGO. - EDISI UKAS