Projek Jalan Penghubung Bintangor–Sibu Tingkatkan Kesalinghubungan Penduduk
SIBU: Projek cadangan jalan penghubung (missing link) Jalan Nanga Bangkit/Muara Lebaan–Jalan Sibu/Tanjung Manis dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk di Sungai Sian, Selemas dan Kampung Bundung apabila ia memudahkan perhubungan terus ke Sibu tanpa perlu lagi bergantung kepada perkhidmatan feri.
Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, projek sepanjang kira-kira lima kilometer itu melibatkan kos lebih RM80 juta dan menjadi antara usaha kerajaan negeri bagi melengkapkan jaringan jalan raya di kawasan tersebut.
“Pembinaan jalan berkenaan akan memudahkan pergerakan penduduk ke Sibu apabila Jambatan Lebaan siap sepenuhnya kelak, selain meningkatkan tahap kesalinghubungan antara kawasan luar bandar dan pusat bandar.
“Projek itu adalah sebahagian daripada perancangan berterusan kerajaan negeri, dengan penekanan diberikan kepada kelancaran pelaksanaan termasuk aspek pengambilan tanah,” katanya.
Beliau berkata demikian apabila ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah, Pewartaan Rizab Komunal Bumiputera di Bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri serta Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Mengikut Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi Bahagian Sibu di Dewan Kompleks Islam Sibu, pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang itu berkata, pada masa lalu, sebanyak RM45 juta telah diluluskan di bawah kepimpinan Allahyarham Tan Sri Pehin Sri Adenan Satem bagi pembinaan jalan ke Tanjung Manis dari Sarikei.
Bagaimanapun, katanya, peruntukan tersebut tidak mencukupi dan peruntukkan RM45 juta berkenaan telah digunakan untuk menaik taraf Jalan Rentap di Sarikei, dari Jambatan Sarikei ke Hospital Sarikei.
“Pembinaan jalan missing link itu dijangka mengambil masa kira-kira dua setengah tahun atau 30 bulan, dan sekiranya proses pampasan tanah dapat diselesaikan lebih awal, projek tersebut berpotensi disiapkan sekitar tahun 2028 hingga 2029,” ujarnya.
Terdahulu, Len Talif mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan menyampaikan cek pampasan tanah berjumlah RM9,312,149.96 kepada 92 pemilik tanah yang terlibat dalam tiga projek pembangunan kerajaan.
Pampasan ini membabitkan projek naik taraf Jalan Oya Fasa 2, Jalan Penghubung dari Taman Permai ke Jalan Ulu Sungai Merah dan Jalan Penghubung (Missing Link) dari Jalan Nanga Bangit/Muara Lebaan ke Jalan Sibu/Tanjung Manis, Daerah Meradong (Sektor Sibu).
Majlis turut menyaksikan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 KTN melibatkan kawasan Sungai Bawang/ Tau/ Arip, Selangau Ulu Kelawit, Selangau (8,880 hektar), Kawasan Batu 9 & 10 Jalan Kanowit/ Julau/ During (KJD) (880 hektar) dan Tebalong Batang Oya, Selangau A (3,359 hektar).
Hadir sama Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta; ADUN Daro, Safiee Ahmad; ADUN Tamin, Ir. Christopher Gira Sambang; ADUN Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, Dato Jasni Jubli; Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman; Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sibu, Chua Soh Kee; serta Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kerja Raya Sarawak, Ir. Ts. Anding Uchi. - EDISI UKAS