Penduduk Rumah Panjang Empi Nikmati Bekalan Air Bersih Bertapis Melalui Borneo Blue Smart Water System
PAKAN: Penduduk Rumah Panjang Empi di Tanjong Lelenggau kini menikmati kemudahan bekalan air bersih bertapis menerusi pemasangan Borneo Blue Smart Water System yang direka khusus bagi kegunaan komuniti luar bandar di Sarawak.
Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan Tan Sri William Mawan Ikom berkata, inisiatif itu merupakan penyelesaian jangka pendek bagi membantu penduduk mendapatkan sumber air bersih yang selamat sementara menunggu pelaksanaan projek bekalan air berpaip sepenuhnya melalui Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB).
“Borneo Blue Smart Water System direka bagi menyediakan bekalan air bersih yang selamat, stabil dan boleh dipercayai kepada komuniti luar bandar serta kawasan tanpa grid, khususnya di lokasi yang berdepan kekangan infrastruktur dan akses seperti Rumah Panjang Empi,” katanya semasa majlis perasmian sistem berkenaan pada Sabtu.
Borneo Blue Smart Water System merupakan sistem penapisan air mudah alih pertama seumpamanya dipasang di Sarawak dan boleh dipindahkan menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD) atau bot.
Sistem tersebut tidak memerlukan penggunaan mesin berat untuk pemasangan dan mampu beroperasi dalam tempoh masa yang singkat, sekali gus menjadikannya sesuai untuk kawasan pedalaman yang mencabar dari segi geografi dan logistik.
Projek milik Seri Sigma Jaya Sdn. Bhd. itu melibatkan kos pemasangan dianggarkan antara RM600,000 hingga RM800,000 bagi setiap lokasi, tertakluk kepada keperluan kelengkapan tambahan yang ditentukan oleh JBALB.
Inisiatif berkenaan dilihat sebagai pelengkap kepada usaha kerajaan negeri dalam memperluas akses bekalan air bersih menerusi program seperti Program Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) melalui penyediaan penyelesaian yang lebih praktikal, fleksibel dan mampu dilaksanakan dengan cepat di kawasan terpencil.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Penolong Ketua Pengarah JBALB Fadil Kawi, wakil Pegawai Daerah Pakan Dana Ungki serta Pengarah Urusan Seri Sigma Jaya Sdn. Bhd. Suzie Serina.-EDISI UKAS