Kesinambungan Kepimpinan Komuniti Perkukuh Pembangunan Inklusif
LUNDU: Majlis Jasamu Dikenang anjuran KMKK Zon Biawak telah berlangsung dalam suasana penuh muhibah di Kampung Pasir Hulu pada Jumaat, sebagai simbol penghargaan terhadap jasa serta komitmen kepimpinan komuniti di kawasan tersebut.
Program yang diadakan pada malam itu dihadiri kira-kira 20 penduduk setempat dan menjadi platform memperkukuh semangat kebersamaan serta kerjasama antara pemimpin akar umbi dan masyarakat.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail yang menzahirkan penghargaan terhadap peranan pemimpin komuniti dalam memastikan kesejahteraan dan keharmonian penduduk terus terpelihara.
Beliau menekankan bahawa kepimpinan akar umbi berperanan penting sebagai penghubung antara masyarakat dan pentadbiran daerah bagi memastikan setiap isu dan keperluan rakyat dapat disalurkan melalui saluran rasmi secara berkesan.
Selaras dengan aspirasi pentadbiran daerah ke arah pendekatan yang lebih responsif, majlis tersebut turut menekankan kepentingan budaya turun padang serta pengukuhan hubungan strategik antara Pejabat Daerah dan masyarakat.
Dalam pada itu, pemerkasaan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terus diberi penekanan sebagai jentera utama dalam merancang serta melaksanakan inisiatif pembangunan di peringkat kampung.
Komuniti turut digalakkan untuk memainkan peranan aktif dalam pembangunan setempat termasuk menangani isu di peringkat kampung, merancang inisiatif ekonomi serta memperkukuh perpaduan sosial.
Penganjuran Majlis Jasamu Dikenang ini bukan sahaja menjadi platform penghargaan, malah mencerminkan kesinambungan kepimpinan komuniti sebagai tunjang kepada pembangunan luar bandar yang inklusif dan mampan.-EDISI UKAS