Pembangunan Luar Bandar Diperkasa Menerusi Lawatan RTP & Sesi Libat Urus
LUBOK ANTU: Komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan luar bandar terus diperkasa diterjemahkan menerusi lawatan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan sesi libat urus bersama penduduk di Rumah Edat Anak Intan, Lubok Subong, Lemanak semalam.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Datuk Malcolm Mussen Lamoh.
Dalam sesi berkenaan, Tuai Rumah Edat Intan merakamkan penghargaan atas peruntukan dan bantuan yang telah disalurkan sebelum ini di samping mengemukakan beberapa permohonan baharu bagi meningkatkan keselesaan penduduk rumah panjang.
Antara keperluan yang disuarakan termasuk permohonan pemasangan jubin di ruai rumah panjang, pembinaan stor penyimpanan barangan serta dana bagi menyokong aktiviti dan kebajikan wanita melalui Gerempung Indu.
Berucap pada majlis tersebut, Datuk Malcolm menegaskan kepimpinan di peringkat akar umbi, khususnya Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), perlu berlandaskan prinsip integriti dan akauntabiliti selaras dengan peruntukan Ordinan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum 2004.
Beliau turut memaklumkan mengenai perkembangan projek Klinik Lubok Antu dan berharap pelaksanaannya dapat disiapkan mengikut jadual demi kemudahan rakyat setempat.
Selain itu, projek bekalan air terawat bernilai RM117 juta sedang dilaksanakan termasuk inisiatif “New Water” bagi memperluas liputan bekalan air bersih. Sebanyak 250 tangki air turut diluluskan untuk Ketua Isi Rumah yang masih belum menerima bekalan air terawat.
Sebagai tanda sokongan berterusan terhadap pembangunan komuniti, beliau turut mengumumkan kelulusan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) melibatkan RM15,000 kepada JKKK Lubok Subong, RM5,000 kepada Biro Wanita Lubok Subong serta RM10,000 masing-masing kepada Serubah Ulu, Serubah Ili, Ng Kesit Ili dan Ng Kesit Ulu.
Turut menerima peruntukan RM10,000 ialah PIBG SK Ng Kesit dan Kelab Rekreasi Klinik Nanga Kesit.
Sesi libat urus ini mencerminkan pendekatan turun padang kerajaan dalam memastikan suara rakyat terus didengar serta pembangunan luar bandar dilaksanakan secara inklusif dan menyeluruh.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Lubok Antu, Akoi Ejau, Ahli-ahli Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) serta KMKK Daerah Lubok Antu.-EDISI UKAS