20 Tuai Rumah N.34 Batang Ai Terima Sijil Lantikan Rasmi
LUBOK ANTU: Seramai 20 Ketua Kaum (Tuai Rumah) bagi kawasan Batang Ai di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Kecil Engkilili menerima sijil lantikan rasmi dalam satu majlis yang berlangsung di Rumah Edat Anak Intan, Lubok Subong, Lemanak di sini, pada Sabtu.
Majlis penyerahan sijil tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Datuk Malcolm Mussen Lamoh.
Dalam ucapannya, Pegawai Daerah Lubok Antu, Akoi Ejau memaklumkan bahawa kesemua 20 Tuai Rumah berkenaan menerima surat lantikan rasmi sebagai Ketua Kaum di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Kecil Engkilili.
Beliau turut memaklumkan bahawa Daerah Kecil Engkilili kini dalam perancangan untuk dinaiktaraf sebagai Daerah Penuh dan bakal mempunyai Pegawai Daerah sendiri, tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa atasan.
Majlis tersebut turut memberi penekanan terhadap beberapa perkara penting melibatkan peranan dan bidang kuasa Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).
Antaranya, Tuai Rumah dan Penghulu dibenarkan mengesahkan borang rasmi namun tidak dibenarkan mengesahkan salinan sijil, prosedur pemindahan hak milik senapang patah kepada anak semasa pemilik masih hidup, garis panduan pengambilan anak angkat; serta peranan KMKK dalam mengenal pasti penerima bantuan kebajikan mengikut syarat kelayakan yang ditetapkan.
Penjelasan berkenaan bertujuan memperkukuh kefahaman pemimpin akar umbi terhadap tanggungjawab pentadbiran dan kebajikan masyarakat agar selari dengan tatacara yang berkuat kuasa.-EDISI UKAS