Kampus Tetap CENTEXS Betong Bakal Dibina, Sembilan Jambatan Sarawak Dijangka Siap Tahun Ini
BETONG: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pembangunan modal insan dan infrastruktur negeri apabila projek pembinaan bangunan baharu Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di Betong telah diluluskan dan dijangka memulakan pembinaan seawal tahun ini.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, tapak pembinaan pusat latihan kemahiran tersebut telah dikenal pasti di Betong dan projek berkenaan diharap dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat bagi menyediakan kemudahan latihan kemahiran kepada penduduk setempat.
“Kewujudan pusat latihan tersebut kelak akan membuka lebih banyak peluang kepada belia dan masyarakat sekitar untuk meningkatkan kemahiran teknikal serta kebolehpasaran tenaga kerja di kawasan berkenaan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Outreach KPWK Bersama Rakan Strategik: "Kamek Prihatin, Kitak Penting" Zon Betong Tahun 2026 di Dewan Masyarakat Spaoh pada Sabtu.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor dan ADUN Kalaka, Mohammad Duri.
Dalam perkembangan berkaitan infrastruktur, beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak sembilan projek jambatan di seluruh Sarawak dijangka siap sepenuhnya pada tahun ini, antaranya Jambatan Batang Lupar 1, Batang Igan, Batang Krian, Sungai Limbang, Batang Lupar 2, Batang Paloh, Batang Saribas 2, Sungai Sejingkat dan Batang Rambungan.
Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak menegaskan keyakinan bahawa semua projek berkenaan akan disiapkan mengikut jadual, sambil memaklumkan bahawa pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diarahkan untuk memantau pelaksanaan projek secara rapi.
Langkah tersebut tegasnya penting bagi memastikan sebarang isu yang dihadapi kontraktor dapat dikenal pasti dan diselesaikan segera agar tidak menjejaskan kemajuan pembinaan.
“Kejayaan menyiapkan projek-projek infrastruktur strategik serta pembangunan pusat latihan kemahiran seperti CENTEXS akan memberi impak besar kepada pertumbuhan ekonomi tempatan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat di Sarawak, khususnya di Bahagian Betong,” katanya lagi. - EDISI UKAS