Kejohanan Mini Pickleball Tertutup - Sukan Tanpa Dadah
BINTULU: Kejohanan Mini Pickleball “Sukan Tanpa Dadah” berjaya dianjurkan dalam suasana meriah, sekali gus menjadi platform memupuk gaya hidup sihat serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bahaya penyalahgunaan dadah.
Program anjuran Kelab Pickleball RPR Sebiew dengan kerjasama Jawatankuasa Jawatankuasa Pusat Serenti (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Penyalahgunaan Bahan (MIDS) Daerah Bintulu itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Johnny Pang Leong Ming di JJ Pickleball Sport pada Jumaat.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas inisiatif menganjurkan kejohanan yang disifatkan sebagai langkah proaktif dalam membudayakan aktiviti sihat di samping menjauhkan masyarakat daripada gejala penyalahgunaan dadah.
Menurut beliau, penglibatan aktif komuniti dalam aktiviti sukan bukan sahaja meningkatkan kecergasan fizikal, malah membentuk disiplin, semangat berpasukan dan jati diri yang kukuh.
Kejohanan tersebut melibatkan 60 peserta yang bertanding dalam dua kategori iaitu beregu lelaki dan beregu wanita, sekali gus mencerminkan sokongan padu masyarakat terhadap program berteraskan gaya hidup sihat.
Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Bintulu, Abang Zainuddin Abang Turkee; Pegawai Daerah Bintulu merangkap Pengerusi OSC MIDS Daerah Bintulu, Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan; Setiausaha Politik Premier Sarawak, Angellie Stephen Raja serta Pengerusi Kelab Pickleball RPR Sebiew, Rushdy Rosli.-EDISI UKAS