MYSED Perkukuh Sokongan Usahawan Belia Melalui Meet & Greet SYStartUP@Miri 2026
MIRI: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) terus memperkukuh ekosistem keusahawanan belia menerusi penganjuran Program Meet & Greet SYStartUP Zon Utara 2026 yang berlangsung di Imperial Hotel, di sini, pada Sabtu.
Program tersebut menjadi platform interaksi rasmi bagi memantau perkembangan peserta Sarawak Youth StartUp (SYStartUP) Kohort 1 dan 2, selain mengukuhkan jaringan antara usahawan muda, mentor serta agensi sokongan.
Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan II (Pembangunan Usahawan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.72 Lambir, Datuk Dr Ripin Lamat.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap MYSED, Dolhadi Marzuki serta Pegawai MYSED Miri, Nuruddin Sabali.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan sesi tersebut merupakan mekanisme rasmi kementerian bagi menilai prestasi perniagaan alumni selepas tamat program latihan, sekali gus memastikan sokongan kerajaan diteruskan secara berstruktur.
Lebih 50 alumni SYStartUP menghadiri program berkenaan, mencerminkan komitmen tinggi golongan belia dalam membangunkan perusahaan masing-masing.
Beliau turut menggalakkan peserta menceburi industry-based ventures seperti bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri berat serta pembangunan teknologi yang selari dengan agenda pembangunan ekonomi Sarawak.
Program turut menampilkan sesi Learn & Share yang memberi ruang kepada peserta berkongsi pengalaman, pencapaian dan cabaran perniagaan, sekali gus membuka perbincangan dua hala bersama pihak kementerian bagi mencari penyelesaian bersama.-EDISI UKAS