KMKK Komuniti Iban Sri Aman Digesa Terus Proaktif, Elak Jadi Persatuan 'Tidur'
SIMANGGANG: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Komuniti Iban di Daerah Sri Aman digesa agar terus proaktif dan tidak membiarkan persatuan mereka menjadi organisasi yang ‘tidur’ tanpa aktiviti bermanfaat kepada komuniti.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis menegaskan bahawa setiap KMKK di kawasannya perlu bergerak aktif melaksanakan pelbagai program dengan kerjasama agensi kerajaan.
Menurut beliau, kepimpinan KMKK harus lebih peka terhadap peluang pembangunan ekonomi, termasuk aktif memohon bantuan dalam sektor tertentu bagi meningkatkan taraf hidup rakyat di kawasan masing-masing.
Tambahnya lagi, pemimpin akar umbi juga harus sentiasa turun padang memantau keadaan penduduk, khususnya dalam menyalurkan bantuan segera kepada mangsa yang terjejas akibat bencana.
Datuk Francis berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penutupan Mesyuarat KMKK Daerah Sri Aman Komuniti Iban yang berlangsung di Restoran Golden City, di sini pada Sabtu.
Dalam majlis sama, beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada Persatuan KMKK Komuniti Iban Daerah Sri Aman bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dan program persatuan.
Turut hadir ialah wakil Pegawai Daerah Sri Aman Joshua Martin, Pengerusi Persatuan KMKK Komuniti Iban Daerah Sri Aman Temenggong Leonard Libau Anol, penghulu-penghulu serta tai rumah seluruh Daerah Sri Aman.-EDISI UKAS