Bantuan Program Back To School Bantu 300 Pelajar DUN Opar
LUNDU: Walaupun sesi persekolahan 2026 telah pun bermula, seramai 300 pelajar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar tetap menerima suntikan semangat apabila bantuan persekolahan disampaikan menerusi Program Back To School 2026 di CENTEXS Lundu.
Melibatkan 18 sekolah rendah dan empat sekolah menengah, bantuan yang disalurkan ini menjadi tanda bahawa sokongan terhadap pendidikan tidak terhenti pada hari pertama persekolahan, sebaliknya berterusan sepanjang tahun.
Program anjuran Pusat Khidmat N1 Opar dengan kerjasama Biro Pendidikan Masyarakat Opar itu bertujuan meringankan beban ibu bapa yang masih berdepan komitmen perbelanjaan selepas pembukaan sekolah, selain memastikan pelajar dapat meneruskan pembelajaran dengan lebih selesa dan fokus.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, majlis tersebut mencerminkan pendekatan kepimpinan setempat yang menitikberatkan kebajikan pendidikan secara berterusan, selari dengan usaha memperkukuh pembangunan modal insan di peringkat komuniti.
Katanya, bantuan tersebut bukan sekadar sumbangan, tetapi simbol komitmen bersama dalam memastikan setiap anak mempunyai peluang yang adil untuk berjaya.
“Pendidikan adalah asas dalam membina masa depan. Kejayaan bukan diukur daripada latar belakang, tetapi daripada kesungguhan dan semangat untuk berjaya,” katanya pada Sabtu.
Beliau turut menyeru ibu bapa dan guru agar terus memainkan peranan membimbing serta memantau perkembangan anak-anak supaya bantuan yang diterima dapat diterjemahkan kepada pencapaian yang lebih baik.
Dalam majlis yang sama, dua projek pembangunan sekolah turut diketengahkan sebagai langkah memperkukuh ekosistem pendidikan di kawasan tersebut.
SK Opar menerima peruntukan RM150,000 bagi pembinaan baharu dewan sekolah, manakala SK Sebandi diperuntukkan RM300,000 untuk kerja-kerja menaik taraf padang sekolah.-EDISI UKAS