UNIONS Lancar Program Jelajah Integriti Sarawak Di Kapit
KAPIT: Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Kapit telah menganjurkan Program Jelajah Integriti Sarawak Siri 44 Bil.1/2026 di Rumah Bena, Nanga Sema, Sungai Yong, Kapit.
Program diadakan pada Sabtu ini bertujuan memupuk budaya integriti, memperkenalkan fungsi Ombudsman, dan mengukuhkan moral serta keyakinan masyarakat terhadap tadbir urus negeri.
Ia selaras dengan slogan ‘Sarawak Berintegriti Tinggi 2030’ dan ‘Dari Sempadan Hingga ke Desa’, sebagai seruan kepada masyarakat untuk mengamalkan integriti dalam kehidupan seharian dan pembangunan negeri.
Menurut Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, integriti, akauntabiliti dan ketelusan sangat penting dalam pentadbiran serta menyeru rakyat menanam nilai integriti melalui teladan kepimpinan.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibaca oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang & Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat bagi merasmikan program tersebut.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti & Ombudsman), Dato' Murshid Diraja Datuk Dr Juanda Jaya menekankan peranan pemimpin akar umbi sebagai ‘jambatan’ antara rakyat dan kerajaan serta kepentingan amalan integriti untuk mencegah salah laku.
Menurutnya, sejak 2019 hingga 2025, UNIONS telah melaksanakan 43 siri jelajah dengan 10 siri tambahan dirancang pada tahun 2026 khususnya di lokasi yang belum pernah dikunjungi.
Program merangkumi ceramah pengurusan aduan oleh UNIONS, ceramah anti-rasuah SPRM, advokasi pendidikan seksual remaja oleh MPS, serta sesi Integriti Walkabout ke tapak Projek Bekalan Air – proposed pipelines, boosters dan reservoirs bagi memastikan integriti projek terpelihara.
Turut diumumkan mengenai status Projek Bekalan Air Kapit yang sedang dalam proses tender, manakala projek SMK Bukit Goram, Jambatan Yong dan Kolej MARA sedang dilaksanakan.
Sementara itu, Datuk Jefferson Jamit turut memperuntukkan dana berjumlah RM15,000 iaitu RM10,000 untuk Rumah Bena dan RM5,000 untuk Biro Wanita bagi program akan datang. - EDISI UKAS