30 Masjid dan 60 Surau di Petra Jaya Terima Geran RM330,000
KUCHING: Sebanyak 30 masjid dan 60 surau di kawasan Parlimen Petra Jaya menerima peruntukan geran berjumlah keseluruhan RM330,000 bagi menyokong pengurusan serta penganjuran aktiviti keagamaan komuniti setempat.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, bantuan berkenaan bertujuan meringankan beban pengurusan masjid dan surau selain memastikan institusi tersebut terus berperanan sebagai pusat penyatuan dan pembangunan masyarakat.
Beliau turut menekankan kepentingan pengisian program yang berterusan serta bersifat spesifik agar fungsi masjid dan surau dapat diperkasa selari dengan cabaran semasa.
“Peruntukan ini sekadar membantu meringankan keperluan pengurusan dan sekiranya terdapat program tertentu yang lebih spesifik, bolehlah dikemukakan seperti biasa.
“Kami sedia menyokong, bukan saya sahaja malah Datuk Sharifah Hasidah juga bersedia membantu dalam usaha memperkasakan masjid dan surau kerana perkara ini amat penting.
“Cabaran kita pada masa ini ialah memastikan ummah dilengkapi ilmu secukupnya, merangkumi ilmu dunia dan akhirat, serta kemahiran untuk menghadapi cabaran kehidupan masa kini dan akan datang,”katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis penyerahan geran tersebut di Masjid Darul Ibadah Kampung Semariang Lama, di sini, pada Sabtu.
Datuk Amar Fadillah turut menegaskan masjid dan surau perlu terus berperanan sebagai tempat penyatuan masyarakat, menimba ilmu serta ruang perbincangan dalam menangani isu sosial setempat.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri- Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.-EDISI UKAS